Pusat C4 menandakan sambutan Hari Rasuah Antarabangsa 2021, mengarahkan tumpuan orang ramai kepada penggunaan teknologi dalam perjuangan sukar menentang rasuah

KENYATAAN MEDIA

KUALA LUMPUR, 9 Disember 2021 — Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), dengan kerjasama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC), semalam, menandakan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (IACD 2021) tahun ini dengan menarik perhatian orang ramai terhadap penggunaan teknologi untuk memerangi rasuah yang berleluasa di negara ini.

Bertemakan ‘Penggunaan Teknologi untuk Membendung Rasuah’, acara hybrid tersebut telah dihadiri hampir 100 orang peserta (secara maya dan di lokasi) dan bertujuan untuk memberi penerangan tentang peningkatan rasuah merentasi ekonomi, terutamanya di Malaysia, di tengah-tengah situasi kecemasan yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19 serta bagaimana teknologi boleh digunakan untuk bertindak balas terhadap serangan hebat rasuah yang perlu dihadapi negara.

Kandungan ceramah termasuk meneroka kaedah-kaedah, alat-alat dan langkah-langkah anti-rasuah baru yang boleh dilaksanakan untuk menambah baik proses yang terlibat dalam perkhidmatan perolehan bagi meminimumkan ketirisan dan amalan salahlaku.

Cynthia Gabriel, Pengarah Pengasas C4 Center, semasa mengalu-alukan para hadirin berkata: “Acara hari ini dianjurkan sempena Hari Anti-Rasuah Antarabangsa yang disambut esok (hari ini) pada 9 Dis, tetapi hari berkenaan perlu diberi lebih perhatian di Malaysia daripada yang diterimanya.

“Kami juga berada di sini hari ini dalam suasana yang sangat positif, berasa bertenaga selepas keputusan Mahkamah Rayuan (COA) dan sangat bersesuaian dengan apa yang kami bincangkan,” kata Cynthia merujuk kepada pengesahan sabitan dan hukuman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Sabitan dalam kes SRC International Sdn Bhd yang diangkat oleh COA pagi semalam.

Beliau menyifatkan kejayaan siasatan rasuah sebagai hasil usaha wajar wartawan penyiasat, Jabatan Kehakiman (DOJ) di Amerika Syarikat serta beberapa institusi penguatkuasa undang-undang lain di seluruh dunia yang mendedahkan kes rasuah berbilang lapisan, pelbagai dimensi dan teramat kompleks terutamanya yang berkaitan dengan Malaysia.

“Ia merupakan sumbangan teknologi dan alat-alat yang digunakan dengan cara yang sangat rumit yang sebenarnya membantu mengikuti jejak wang dan membantu penyiasat-penyiasat tempatan kami termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk turut mengukuhkan cara mereka mengendalikan kes-kes rasuah yang begitu besar,” kata beliau.

Cynthia berkata Mahkamah telah memberikan negara suatu mesej yang amat bermakna dan menyatakan bahawa keputusan rasmi tersebut adalah mengikut konteks yang bertepatan selari dengan sambutan IACD 2021.

“Jadi pada hari ini, berikutan keputusan Mahkamah yang penting itu, semangat kami telah didorong untuk mempercayai bahawa kleptokrat-kleptokrat – pesalah-pesalah yang terlibat dalam rasuah serius (berskala besar) — benar-benar tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita,” beliau menekankan.

Manakala, Profesor Edmund Terence Gomez, Pengerusi Lembaga C4 Center berkata: “Kita mesti memahami sistem yang telah dilaksanakan oleh mereka dalam sektor kerajaan dan perniagaan yang membolehkan mereka kekal melakukan rasuah secara tersembunyi sehingga begitu sukar untuk dikesan.

“Adalah amat sukar bagi pihak-pihak NGO untuk mengesan bagaimana wang ini mengalir apabila ia telah merentasi negara. Kita tidak boleh melakukan ini bersendirian kerana wang mengalir masuk dan keluar dari negara melalui teknologi jenis kewangan fintech yang semakin canggih,” Gomez menjelaskan, menambahkan bahawa semua pihak berkepentingan seharusnya bersama-sama mengumpulkan tenaga dan sumber untuk menghapuskan mekanisme yang membawa kepada rasuah.

Penceramah-penceramah yang mewakili UNODC (Francesco Checchi, Penasihat Anti Rasuah); Open Contracting Partnership, OCP (Bernadine Fernz, Ketua Infrastruktur); Department of Standards Malaysia (Abdul Fattah Yatim, Pengerusi Jawatankuasa Piawai Malaysia berkenaan Teknologi Blok Rantai dan Lejar Diedarkan); dan EMIR Research (Datuk Wira Dr Hj Rais Hussin Hj Mohammed Ariff, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif); masing-masing membuat liputan topik mengenai penggunaan teknologi untuk memerangi rasuah daripada peranan analisis data untuk pencegahan rasuah dan penipuan di Asia Tenggara; infrastruktur kontrak terbuka; teknologi blok rantai kepada teknologi integriti dalam ekonomi digital untuk memerangi rasuah.

Para peserta yang hadir terdiri daripada para individu berkemahiran daripada sektor perolehan termasuk para profesional integriti dan pematuhan; kewangan dan pelaburan; penguatkuasaan peraturan; serta para wartawan penyiasat dan pembuat keputusan perniagaan dan pengurusan utama yang boleh menggunakan pemahaman baru mereka terhadap rangka kerja anti-rasuah untuk meneruskan kerja mereka dalam bidang masing-masing bagi organisasi mereka.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini mengenai penyata kewangan Kerajaan Persekutuan dan Audit Pematuhan 2020 Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Persekutuan, pelbagai masalah yang menyelubungi kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan persekutuan dengan isu-isu ketidakpatuhan pengurusan kewangan telah dikenal pasti.

Laporan tersebut, yang dibentangkan pada 28 Oktober di Dewan Rakyat, mendapati pembayaran tidak teratur, kehilangan dana awam dan pembaziran melibatkan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan ini berjumlah RM620.07 juta tahun lepas, yang jelas menunjukkan wujudnya kemungkinan elemen rasuah dalam pelbagai bentuk dan di dalam pelbagai peringkat proses perolehan, maka dengan segera memerlukan penggunaan teknologi untuk menghentikan dan menyelesaikan isu tersebut.

Dalam usaha untuk membendung ketirisan dan pembaziran yang berpunca daripada sektor perolehan, C4 Center telah menyeru kerajaan untuk menyegerakan penubuhan Pejabat Ombudsman Bebas dan memasukkan klausa Salah Laku di Pejabat Awam (SLPA) sebagai peruntukan baru di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sesungguhnya, rasuah kini diakui sebagai pemboleh utama jenayah transnasional dan Sidang Khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Mengenai Rasuah yang pertama pada Jun tahun ini mengesahkan keperluan mendesak untuk memerangi wabak ini dengan menggunakan teknologi untuk mencapai matlamat ini.

###KENYATAAN MEDIA TAMAT###

Dikeluarkan oleh:
Pusat bagi Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4)

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
[email protected]
012-379 2189 / 03-7660 5140

Laman rasmi: https://c4center.org/

Cynthia Gabriel, Pengarah Pengasas Pusat bagi Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) kelihatan di sini memoderasikan suatu sesi perbincangan yang melibatkan panelis untuk acara C4-Hari Anti Rasuah Antarabangsa (IACD 2021) yang bertemakan ‘Penggunaan Teknologi untuk Membendung Rasuah’ pada Disember 8, 2021, di Kuala Lumpur.

Panelis mengikut arah jam dari kiri atas: 
Cynthia; Francesco Checchi, Penasihat Anti Rasuah Pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas Dadah dan Jenayah; Bernadine Fernz, Ketua Infrastruktur Open Contracting Partnership; Datuk Wira Dr Hj Rais Hussin Hj Mohammed Ariff, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research; dan Abdul Fattah Yatim, Pengerusi Malaysia’s Standards Committee on Blockchain and Distributed Ledger Technologies, Jabatan Standards Malaysia.

SHARE THIS:

Share on facebook
FACEBOOK
Share on twitter
TWITTER

THANK YOU!

All publications by C4 Center are downloadable for free. Much resources and funds have been put into ensuring that we conduct cutting edge research work for these issues to be brought to the attention of the general public, authorities, as well as public policymakers and lawmakers. If you like our work, please do consider supporting us by donating to us. Your financial support will go a long way in ensuring that we can continue fighting for a clean, and better, Malaysia.