Secara dasarnya, C4 bertindak sebagai pemantau dan pendokong pengaplikasian dan penguatkuasaan standard dan amalan terbaik antarabangsa dalam semua aspek dan peringkat pentadbiran awam supaya bebas korupsi, kronisme, pilih kasih, nepotisme, salah guna kuasa, kerahsiaan tidak munasabah atau mana-mana amalan urus tadbir lemah yang lain.
Posisi Dan Pendirian Eksekutif C4 Mengenai GST
Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) adalah sebuah pertubuhan masyarakat sivil yang bebas dan berkecuali tanpa sebarang motif keuntungan demi pemerkasaan rakyat dan advokasi awam dengan fokus memberi sumbangan dalam pembentukan dasar awam, pemantauan kepatuhan dan penguatkuasaan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik, perekayasaan dan pengukuhan mekanisme, pendidikan dan latihan, dan pengisian keperluan. Secara dasarnya, C4 bertindak sebagai pemantau dan pendokong pengaplikasian dan penguatkuasaan standard dan amalan terbaik antarabangsa dalam semua aspek dan peringkat pentadbiran awam supaya bebas korupsi, kronisme, pilih kasih, nepotisme, salah guna kuasa, kerahsiaan tidak munasabah atau mana-mana amalan urus tadbir lemah yang lain.
Memandangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan, lebih dikenali di negara lain sebagai Value Added Tax (VAT) atau Goods & Services Tax (GST) merupakan satu instrumen cukai baharu dalam sistem percukaian yakni tertakluk di bawah kerangka dasar awam, maka C4 mempunyai locus standi untuk memberi penjelasan lanjut kepada awam malah menegaskan pendirian dan pandangan mengenai GST.
Pengenalan
GST ialah sejenis cukai kepenggunaan (consumption tax) dalam kategori cukai tidak langsung yang perlu ditanggung oleh rakyat setiap kali berbelanja kerana dilevi ke atas nilai pembekalan bercukai (taxable supply) barangan dan/atau perkhidmatan sama ada dihasilkan dan/atau dipasang di Malaysia atau diimport masuk ke Malaysia tetapi bukan yang dieksport. Dengan erti kata lain, GST dilevi ke atas nilai tambah pada setiap peringkat dalam rantaian pengeluaran sesuatu barangan atau perkhidmatan, daripada pembuat/pembekal, pemborong, peruncit hinggalah kepada pengguna akhir.
Berbeza dengan cukai pendapatan yang hanya dikenakan sekiranya pendapatan seseorang melepasi garis minimum tertentu pada kadar percukaian berlainan mengikut skala atau julat pendapatan tahunan individu, GST akan dipaksa ke atas sesiapa sahaja berkuatkuasa 1 April 2015 dengan satu kadar pengenalan 6% yang sama bagi semua barangan dan perkhidmatan yang terkandung dalam senarai di mana beban cukai yang perlu ditanggung berubah mengikut nilai perbelanjaan.
Di bawah regim GST, barangan dan perkhidmatan terbahagi kepada dua kategori iaitu pembekalan bercukai (berkadar piawai dan sifar) dan pembekalan bukan bercukai (dikecualikan GST):
- Barangan dan perkhidmatan berkadar piawai (standard rated): Kadar penuh 6% akan dikenakan di semua peringkat rantaian pengeluaran
- Barangan dan perkhidmatan berkadar sifar (zero-rated): Kadar 0% ke atas pengguna akhir manakala perniagaan yang berkenaan boleh menuntut kredit cukai input di semua peringkat pengeluaran
- Barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan (exempted): Tidak tertakluk kepada GST manakala perniagaan yang berkenaan tidak boleh menuntut kredit cukai input atau mengenakan cukai
- output kepada pengguna akhir
Perbezaan di antara cukai input, cukai output dan kredit cukai input:
- Cukai Input: GST yang ditanggung perniagaan atas pembelian barangan dan/atau penggunaan perkhidmatan dalam menjalankan aktiviti perniagaan
- Cukai Output: GST yang dicaj ke atas pengguna akhir dan dikutip oleh perniagaaan setelah barangan dijual dan/atau perkhidmatan disediakan
- Kredit Cukai Input: GST yang telah dibayar tetapi layak dituntut semula oleh perniagaan yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dipertanggungjawabkan untuk mentadbir, mengelola dan memantau pelaksanaan GST. Di bawah regim GST, semua perniagaan dengan hasil jualan tahunan melebihi RM500,000 diwajibkan mendaftar dengan JKDM manakala perniagaan dengan hasil tahunan kurang daripada nilai ambang tersebut digalakkan mendaftar secara sukarela. Secara amnya, majoriti perniagaan di kalangan tidak diwajibkan dijangka akan turut mendaftar demi kredit cukai input. C4 menjuruskan penilaian impak GST kepada tiga kelompok utama iaitu kerajaan persekutuan, perniagaan dan pengguna akhir.
Secara umumnya, GST diperkenalkan untuk menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST) Meskipun kedua-dua GST dan SST merupakan sejenis cukai tidak langsung (indirect tax), mereka banyak berbeza dalam pelbagai sudut. SST bercirikan “tahap tunggal” (single stage) iaitu dilevi pada satu peringkat sahaja dalam rantaian bekalan manakala GST pula bercirikan “tahap pelbagai” (multiple stages), dikenakan pada setiap peringkat.
Sementara perniagaan boleh menuntut semula kredit cukai input yang dibayar pada setiap peringkat dalam rantaian bekalan, pengguna akhir bernasib malang kerana terpaksa menanggung keseluruhan cukai yang dikenakan tanpa sebarang hak membuat tuntutan semula.
Di samping itu, ruang lingkup pembekalan bercukai di bawah regim GST juga sangat meluas berbanding SST. Secara umum, GST mengambil pendekatan negatif dari perspektif pengguna akhir iaitu “semua barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai melainkan yang berkadar sifar dan diberi pengecualian”. Sebagai ilustrasi, sebanyak 15,542 restoran dijangka akan mengenakan GST ke atas pelanggan mereka, iaitu lebih tiga kali ganda berbanding 4,357 restoran di bawah regim SST. Malah, barangan dan perkhidmatan import yang bebas cukai kepenggunaan dengan SST (kecuali yang telah digazetkan untuk dicukai) secara automatik akan dikenakan cukai di bawah regim GST.
Secara dasar, jika pengalaman kebanyakan negara yang telah melaksanakannya dijadikan panduan sejak ia mula diperkenalkan di Perancis pada 1954, di samping mampu menjadi satu mekanisme menjana pendapatan yang efektif bagi kerajaan, GST boleh dikatakan satu bentuk cukai efisien untuk memangkin penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam; mengelakkan sebarang kos terselindung dan bertindih yang boleh membebankan pengguna; mendorong sistem percukaian yang lebih adil bagi semua jenis perniagaan tanpa pengecualian mengikut industri/sektor terpilih dan mungkin berpotensi menghalang perbuatan sabotaj atau khianat ekonomi oleh segelintir peniaga/usahawan. Namun, C4 berpandangan bahawa GST tiada kesesuaian atau keserasian dalam konteks Malaysia lebih-lebih lagi ketika ini dan dalam jangka masa terdekat. Malah, GST bukan satu-satunya opsyen penyelesaian yang sesuai, perlu dan mencukupi bagi sebarang permasalahan sosio-ekonomi (sosio-economic ills) yang sekian lama membarah.
Pertama, GST lebih ketara sebagai medium untuk memindahkan beban pelarasan kepada rakyat tanpa perlu pelbagai kekurangan dan kelemahan kronik malah kegagalan berulang dari sudut urus tadbir fiskal dan tata kelola kewangan ditangani secara tuntas terlebih dahulu oleh kerajaan persekutuan.
Hakikatnya, meskipun idea pelaksanaan GST ini pertama kali dibangkitkan pada tahun 1989; diumumkan semula dalam Bajet 2005 untuk dilaksanakan menjelang 2007 tetapi penangguhan diputuskan pada tahun 2006 dan kemudiannya diusulkan perbahasan di Parlimen pada 2009 tetapi usul ditarik secara tiba-tiba pada 2010, ketergesaan untuk melaksanakannya menjelang 1 April 2015 hanya lebih kurang selepas 17 bulan diumumkan secara rasmi dalam Bajet 2014 yang dibentangkan pada 25 Oktober 2013 jelas memberi gambaran betapa terdesaknya kerajaan persekutuan sekiranya fakta dan angka berikut dijadikan sandaran:
- defisit fiskal tahunan berterusan sejak 1998, dari segi nilai (melepasi nilai ambang RM30 billion sejak 2008, memuncak kepada RM47.4 billion pada 2009 dan hanya menunjukkan trend penurunan di bawah paras RM40 billion sejak 2013) dan nisbah kepada KDNK (memuncak kepada 6.7% pada 2009 dan hanya mula susut di bawah paras 4% sejak 2013)
- hutang awam yang tinggi dari segi nilai (melepasi garis ambang setengah trillion ringgit sejak hujung 2012 dan terkini RM569.333 pada hujung suku ketiga 2014) dan nisbah kepada KDNK (hampir 53% yakni tidak jauh daripada siling 55% yang ditetapkan Parlimen sendiri)
Walaupun keupayaan GST melebarkan asas percukaian dan pendapatan (tax and revenue base) negara dan secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan berlebihan Malaysia tehadap pendapatan minyak dan gas tidak dapat dinafikan, perbezaan ketara dari segi latar belakang situasi fiskal yakni lebihan belanjawan di negara-negara lain di rantau ini beberapa tahun sebelum GST mula dilaksanakan seperti Singapura (1994) dan Thailand (1992) tidak syak lagi membayangkan betapa isu-isu asas yang kritikal berikut berkemungkinan besar bakal dikesampingkan tanpa penyelesaian berkesan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang:
- Ketirisan, pembaziran serta amalan tidak jujur atau beretika seperti elemen korup, penyelewengan, pecah amanah dan salah guna kuasa secara sistemik sebagaimana yang didedahkan dalam
- Laporan Tahunan Audit Negara sehingga mengakibatkan kerugian raksasa dalam perbendaharaan negara, ditaksirkan berlegar di antara RM28 billion dan RM40 billion saban tahun menurut pelbagai anggaran
- Perbelanjaan meragukan malah boros atau mewah tanpa keperluan wajar yang selama ini sering dimanifestasikan antara lain dalam bentuk perbekalan tambahan kerap manakala perbelanjaan mengurus (operating expenditure, OPEX) jauh melebihi perbelanjaan pembangunan (development expenditure, DEVEX)
- Kurangnya doktrin dan budaya urus tadbir yang baik seperti prinsip integriti, semak dan imbang (check and balance), keupayaan, kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam semua aspek pentadbiran awam
Justeru, C4 tegas berpendirian bahawa kerajaan persekutuan tiada hujah moral untuk memaksa cukai baharu dalam apa jua bentuk lebih-lebih lagi sekiranya ia membebankan golongan miskin serta berpendapatan rendah dan sederhana sedangkan ia secara berterusan gagal memenuhi segala tanggungjawab dan kewajiban dalam pengurusan fiskal dan kewangan.
Namun, pendedahan pelbagai bentuk pembaziran, salah urus dana awam, perbelanjaan meragukan dan tidak munasabah tanpa penjelasan yang boleh diterima akal oleh Laporan Tahunan Audit Negara seolah-olah tiada pengakhiran yang adil atau memberi manfaat kepada rakyat kerana peruntukan undang-undang tidak menggariskan hal-hal serius sebegini sebagai antara kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan terhadap semua pelaku terlibat.
Beberapa contoh kebejatan dan kebobrokan terkini dalam pengurusan perbelanjaan negara sebagaimana yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara:
- YTL Communications Sdn Bhd, kontraktor bagi projek 1BestariNet yang dianugerahkan kontrak menyediakan infrastruktur jalur lebar 4G berkelajuan tinggi untuk lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara untuk e-pembelajaran bukan sahaja telah terlewat menyediakan akses Internet kepada 4,176 pengguna sasaran selama 439 hari tanpa dikenakan sebarang penalti malah liputan
- 1BistariNet juga tidak sampai ke keseluruhan kawasan sekolah yang telah menerimanya. Projek yang bermula 13 Disember 2011 dengan tempoh diberi selama 30 bulan ini sepatutnya siap menjelang bulan Jun 2014.
- Kenaikan kos dan kegagalan menepati spesifikasi bagi projek penambahbaikan Jalan Pohon Batu ke Pacur Hitam di Labuan setelah kontraktor asal, Pertama Makmur Sdn Bhd tanpa notis menghentikan projek yang diberi peruntukan asal sebanyak RM52.8 juta. Kemudian, TE Synergy Sdn Bhd dianugerahkan kontrak baharu dengan nilai RM56.44 juta tetapi untuk membina jalan hanya sepanjang 3.5 km, hampir separuh daripada jarak asal yang dirancang.
- Proses pembinaan Empangan Peda di Terengganu didapati tidak memuaskan dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Kontrak pembinaan bernilai RM 343.55 juta dianugerahkan melalui rundingan terus kepada pemaju tanpa pengalaman atau kepakaran yang sewajarnya.
- Polis Diraja Malaysia didapati “kehilangan” tanpa kesan 44 unit senjata api, 156 gari tangan dan 29 kenderaan bernilai RM 1.33 juta antara 2010 dan 2012.
20 unit jam dinding dibeli untuk Jabatan Penyiaran pada harga RM 3,810 seunit.
Malah, telah diperakui bahawa pelaksanaan GST akan gagal memberi impak positif yang besar ke atas perbendaharaan negara seperti mana yang sepatutnya boleh didambakan. Menurut ucapan Bajet 2015 sebagaimana yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober 2014, meskipun kerajaan persekutuan dianggarkan bakal meraih RM23.2 billion dalam bentuk hasil kutipan kasar dengan pelaksanaan GST, setelah ditolak kehilangan hasil akibat pengecualian dianggarkan RM3.8 billion dan pemansuhan SST dianggarkan RM13.8 billion serta pengembalian semula kepada rakyat menerusi bantuan tunai seperti BR1M dianggarkan RM4.9 billion, hasil kutipan bersih dianggarkan hanya berjumlah RM690 juta.
Kedua, GST jelas tidak adil, berat sebelah dan hanya memihak kepada ‘petualang sosio-ekonomi’ tatkala Malaysia masih dihantui dan diheret oleh unsur-unsur penipuan, penyelewengan, pecah amanah, korupsi, rasuah, peras ugut dan eksploitasi. Sebagai contoh, laporan terkini Global Financial Integrty (GFI), sebuah organisasi advokasi global menentang korupsi dan pemutihan wang haram mendedahkan bahawa aliran keluar ‘wang haram” bagi Malaysia dianggarkan berjumlah USD48.93 billion bagi tahun 2012 atau rekod kumulatif sedekad (2003-2012) mencecah USD394.87 billion, menjadikan Malaysia negara kelima terburuk di dunia di belakang China, Russia, India dan Mexico.
Ketiga, memandangkan kesengsaraan yang bakal ditanggung oleh semua peringkat masyarakat terutama golongan miskin, berpendapatan rendah dan sederhana akibat GST, timbul pertikaian adakah pelaksanaan GST telah mendapat restu (consent) majoriti rakyat meskipun Rang Undang-Undang GST yang dibahaskan di Dewan Rakyat bermula 31 Mac 2014 telah diluluskan secara majoriti di kalangan Ahli Parlimen pada 7 April 2014? Mungkinkah terdapat unsur penyalahgunaan kuasa majoriti di Parlimen untuk memaksa rakyat berkongsi malah menanggung sebahagian besar beban pelarasan akibat ketidakupayaan, kepincangan dan kelemahan lain dalam pengurusan ekonomi dan kewangan negara? Wajarkah keputusan pengundian Parlimen disamatarafkan dengan persetujuan majoriti rakyat tatkala bilangan majoriti Ahli Parlimen yang pro-GST hanya mewakili 47% daripada undi popular yang dipungut semasa Pilihanraya Umum Ketigabelas?
Rendahnya undi popular yang dimenangi oleh kumpulan Ahli Parlimen yang menguasai Dewan Rakyat berbanding kumpulan Ahli Parlimen lawan sekaligus menimbulkan beberapa persoalan termasuk:
- legitimasi terhadap segala keputusan yang dipersetujui secara majoriti di Parlimen dalam situasi sebegini terutama bagi perkara-perkara asas yang bakal memberi impak terhadap rakyat dari segi sosio-ekonomi, politik, hak asasi, nilai demokrasi dan sebagainya
- keperluan perkara-perkara asas ini diputuskan secara langsung oleh rakyat (demokrasi secara langsung) tanpa mengenepikan peranan ahli parlimen (demokrasi berperwakilan) untuk perkara-perkara lain
Saranan dan Kesimpulan
Sebagai langkah selanjutnya, C4 ingin mencadangkan beberapa perkara berikut sekiranya pelaksanaan GST diteruskan juga menjelang 1 April 2015:
Pertama, melaksanakan segera satu reformasi undang-undang setelah penilaian semula dijalankan secara kerjasama di antara Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ahli-Ahli Parlimen dan pertubuhan masyarakat sivil yang berkenaan supaya salah guna kuasa, salah urus dana awam, transaksi meragukan dan sebarang bentuk salah laku berkaitan dana awam lain yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara boleh dikategorikan sebagai jenayah.
- Semakan semula dan kajian secara menyeluruh peruntukan undang-undang berkenaan yang sedia ada terutama Akta Tatacara/Prosedur Kewangan 1957 (disemak 1972), Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 khususnya Seksyen 23
- Pengenalan undang-undang baharu seperti Akta Anti Pembaziran untuk menangani semua isu berkaitan dana awam terutama definisi menyeluruh pembaziran, kecuaian, salah urus dan semua bentuk salah laku lain; skop pesalah laku dan hukuman setimpal sebagaimana yang dicadangkan oleh koalisi beberapa pertumbuhan masyarakat sivil termasuk C4 dan IDEAS dan disokong oleh Transparency International Malaysia
Kedua, segala akta pro-konsumer seperti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, Akta Perihal Dagangan, Akta Persaingan dan lain-lain perlu dikuatkuasakan sepenuhnya dengan tegas tanpa rasa gentar atau pilih kasih di mana hukuman setimpal dikenakan ke atas peniaga, pembekal, pemborong, pengilang dan sebagainya yang tamak mengaut untung berlebihan atas pengguna dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga menggunakan justifikasi tidak munasabah atau berdegil tidak mahu turunkan harga meskipun kos pengeluaran dan operasi turun dan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan monopoli atau oligopoli. Sekiranya didapati peruntukan-peruntukan dalam akta ini tidak lagi mencukupi atau bisanya tidak lagi menyengat, maka ianya perlu dikemaskini dan diperketatkan, malah akta-akta pro-konsumer yang baharu wajar digubal.
Ketiga, membudayakan dan mematuhi serta-merta dan secara tegas segala konsep urus tadbir yang baik berdasarkan standard dan amalan terbaik antarabangsa terutama Convention Against Corruption oleh United Nations (UN); Code of Good Practices of Fiscal Transparency oleh International Monetary Fund (IMF); Public Expenditure and Financial Accountability, BOOST dan Public Expenditure Reviews oleh World Bank; Anti-Bribery Convention, Guidelines for Managing Conflict of Interest in the Public Service, Principles for Managing Ethics in the Public Service, Principles of Budgetary Governance, Principles for Enhancing Integrity in Public Procurement, Principles for Transparency and Integrity in Lobbying, Principles for Independent Fiscal Institutions dan Convention on Combating Bribery of Foreign Public Officials in International Business Transactions oleh Organisation for Economic Cooperation & Development (OECD) khusus untuk pengurusan fiskal dan tata kelola kewangan awam terutama berkaitan pengurusan belanjawan (budgetary management), kawalan kewangan (financial controls), pengurusan nilai (value management) dan tadbir urus (governance) ke arah salah urus, salah guna dan salah laku sifar dalam semua aspek pentadbiran awam.
Keempat, memperkasa malah mereformasi institusi awam menjurus ke arah kebebasan institusi untuk memulihkan keyakinan umum terhadap pentadbiran dan institusi awam, organisasi kerajaan, kedaulatan undang-undang dan sebagainya terutama:
- Pemerkasaan Jabatan Audit Negara (JAN), mungkin dengan menyemak semula peruntukan terkandung dalam Akta Audit Nasional 1957 supaya JAN bebas sepenuhnya daripada kuasa eksekutif dan bertanggungjawab secara langsung kepada Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara dan/atau kuasa legislatif; menambah satu lagi bahagian tumpuan untuk disemak, disiasat dan diaudit iaitu syarikat-syarikat berkaitan kerajaan persekutuan dan diberi kuasa pendakwaan secara mutlak atau perkongsian dengan Jabatan Peguam Negara bagi hal-hal melibatkan dana awam.
- Penubuhan sebuah institusi pemantauan dan pengawasan fiskal (fiscal watchdog and oversight institution) atau IPPF yang bebas dan berkecuali sama ada dalam bentuk jawatankuasa/majlis atau badan/agensi berorganisasi yang akan bertindak sebagai pengawal atau pelindung bagi segala aspek kewangan awam (public finances) daripada sebarang unsur-unsur bertentangan undang-undang atau tidak selari dengan standard dan amalan terbaik antarabangsa; salah laku atau kelakuan tidak beretika dan ketidakcekapan. Antara lain, IPPF bakal memantau dan mengawasi semua perbelanjaan dan penggunaan dana awam yang sedang berlangsung untuk mengesan sebarang kejanggalan, ketidakaturan dan percanggahan dengan proses dan prosedur di samping mengesyorkan langkah susulan lain yang difikirkan sesuai dan perlu untuk dilaksanakan demi melindungi dana awam. Model dan mandat IPPF yang sedia wujud di negara-negara maju seperti Central Planning
- Bureau di Belanda, Economic Council di Denmark, Fiscal Policy Council di Sweden, Congressional Budget Office di Amerika Syarikat, High Council for Public Finances di Perancis, High Council of Finance di Belgium, Parliamentary Budget Office di Kanada, Office for Budget Responsibility di United Kingdom, Fiscal Advisory Council di Republik Ireland dan sebagainya boleh dijadikan panduan. Antara idea asas adalah untuk mengadaptasikan pengalaman dan kejayaan perbankan pusat yakni dasar monetari yang bebas tanpa pengaruh politik kepada pengurusan fiskal.
Kelima, selain mengumumkan jumlah kutipan tahunan GST, laporan butiran bagaimana dan ke mana hasil GST dibelanjakan perlu didedahkan sama ada dalam Parlimen dan/atau kepada umum secara terperinci dan berkala.
Keenam, menyemak semula skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), sejenis pemindahan tunai tanpa syarat (unconditional cash transfers, UCTs) yang pada pandangan C4 bukanlah teknik pengagihan optimal malah agak penuh kontroversi atas sebab-sebab berikut meskipun secara dasarnya, dalam usaha mencapai keadilan pengagihan semual (redistributive justice), C4 bersetuju bahawa pemindahan tunai dilihat mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding subsidi kerana ia sampai terus kepada kumpulan sasar:
- Kontras dengan pemindahan tunai bersyarat (conditional cash transfers, CCTs) untuk tujuan spesifik yang ditetapkan seperti kupon makanan, bantuan perumahan, baucar yuran pengajian tinggi, bantuan kecemasan atau bencana, pelepasan cukai spesifik dan sebagainya, pemberian (handouts) tunai langsung seperti BR1M tidak membantu mengubah corak dan tingkah laku perbelanjaan kumpulan sasar iaitu golongan berpendapatan rendah kerana dengan kebebasas menentukan bagaimana dan ke mana wang tunai yang diterima bakal dibelanjakan, ada kemungkinan ia akan terbazir atas barangan atau perkhidmatan bukan keperluan asas malah mewah.
- Kemungkinan UCTs disalahgunakan menjadi gula-gula politik atau senjata meraih undi melalui kebergantungan bentuk baharu di mana ‘budi’ yang ditabur wajib dibalas, semuanya demi kelangsungan politik (political mileage) pihak yang memberi iaitu parti yang memegang tampuk pemerintahan
- UCTs lebih sukar untuk diperhalusi dan ditambahbaik mekanisme penyasaran dan pengagihan berbanding CCTs apatah lagi dengan risiko tinggi ketirisan kepada mereka yang tidak layak atau kegagalan mencakupi semua yang layak
Kesemua saranan yang dicadangkan amat penting demi memastikan Malaysia mempunyai persekitaran kondusif untuk pelaksanaan GST, rukun urus tadbir yang baik dan mekanisme perundangan yang sentiasa menjadi asas dan tonggak dalam menempuh cabaran hari ini yang sangat dinamik dan sentiasa berubah-ubah.
Walaupun GST dilihat sebagai satu bentuk percukaian yang telus dan efisien dengan kos penguatkuasaan yang rendah serta efektif untuk meningkatkan pendapatan kerajaan persekutuan, C4 berpendapat pelaksanaannya menjelang 1 April 2015 bersifat terburu-buru tanpa mengkaji secara mendalam buruk-baiknya terhadap ekonomi secara keseluruhan dan rakyat terbanyak terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sekiranya GST diteruskan juga tanpa memberi perhatian yang sewajarnya terhadap kesemua saranan C4, dikhuatiri sikap ambil lewa sebegini bakal mengundang musibah dari perspektif ekonomi, sosial, politik dan keharmonian negara.