Sudah tibanya 1 April 2015. Hari GST dilaksanakan!
Sebagai susulan dan penegasan bagi Posisi dan Pendirian Eksekutif (PPE) Centre To Combat Corruption and Cronyism (C4) Mengenai GST yang diterbitkan pada 9 Mac 2015, C4 ingin memampatkan hujah mengapa GST bukanlah cukai yang sesuai dalam konteks Malaysia terutama pada masa sekarang berdasarkan empat legitimasi dasar berikut:
1. Legitimasi Ekonomi
Implikasi pelaksanaan GST terhadap rakyat boleh dilihat melalui kesan ke atas (1) harga barangan dan perkhidmatan (B&P) secara umum dan (2) kuasa beli rakyat yang berkait rapat dengan paras pendapatan isirumah. dan kekayaan.
Pertumbuhan gaji/upah isirumah yang sangat perlahan malah tidak sepadan dengan lonjakan inflasi serta isu berkaitan kesenjangan pendapatan dan kekayaan merupakan antara hujah ekonomi anti-GST. Jika diselaraskan dengan kadar inflasi, gaji/upah sebenar (real wage) tidak menunjukkan peningkatan yang mampu ‘menundukkan’ impak ledakan kos sara hidup ke atas rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Justeru, golongan ini dijangka akan mengalami pukulan hebat berganda (double whammy) dengan pelaksanaan GST – tiada pertumbuhan pendapatan yang sewajarnya untuk menangani tekanan inflasi sedia ada malah bakal dibebankan pula oleh kenaikan harga kebanyakan B&P akibat GST.
Berdasarkan reaksi perniagaan setiap kali harga runcit bahan api dinaikkan sebelum ini, kebarangkalian berlakunya ‘pass-on effects’ hampir menyeluruh kepada pengguna akhir kenaikan kos pengeluaran dan operasi akibat GST tidak dapat disanggah. Besar kemungkinan, didorong oleh motivasi pengambilan untung secara berlebihan, perniagaan akan sewenang-wenangnya menjadikan GST sebagai justifikasi menaikkan harga, caj atau tarif bagi pelbagai B&P. Malah, telah dikesan perniagaan menaikkan harga B&P mereka sebelum GST berkuatkuasa. Kurangnya ‘taring’ pada Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, Akta Persaingan, Akta Perihal Dagangan dan akta pro-pengguna yang lain di samping penguatkuasaan yang agak longgar memungkinkan kita menyaksikan kesan berantai lonjakan harga ke atas harga hampir kesemua B&P.
Walaupun unjuran rasmi terkini bagi Indeks Harga Pengguna, (IHP) kadar inflasi penanda aras bagi tahun 2015 diramalkan di antara 2% hingga 3%, lebih rendah berbanding purata 40 tahun pada kadar 3.2%., tidak boleh dinafikan jurang yang melebar di antara IHP dan kos sara hidup sebenar yang ditanggung oleh rakyat kebanyakan kebelakangan ini.
Pelaksanaan GST semasa inflasi atau kos sara hidup dalam trend menaik ketara merupakan satu strategi makroekonomi berisiko tinggi yang boleh memudaratkan lagi kesemua faktor risiko lain. Banyak teladan di negara lain di mana pelaksanaan cukai kepenggunaan seperti GST atau kenaikan kadar GST yang sedia ada menjejaskan perbelanjaan pengguna, sekaligus merencatkan pertumbuhan permintaan agregat dan KDNK secara keseluruhan akibat reaksi pengguna yang mengambil sikap sangat berhati-hati untuk berbelanja
Pengalaman Jepun yang ekonominya menguncup 6.4% pada asas tahunan (annualised) dalam suku kedua tahun 2014, terburuk sejak penguncupan pada kadar 7.3% pada suku pertama 2011 hanya disebabkan kenaikan tiga mata peratusan kadar GST kepada 8% berkuatkuasa 1 April 2014 hingga menyebabkan perbelanjaan isirumah merudum 18.7%, wajar dijadikan iktibar. Penguncupan KDNK berlarutan dalam suku ketiga 2014 pada kadar 2.6% pada asas tahunan sekaligus menjerumuskan Jepun dalam kemelesetan ekonomi yang telah memaksa kerajaannya pada 18 Oktober 2014 menunda selama 18 bulan kemudian kenaikan kadar GST sebanyak dua mata peratusan mata lagi kepada 10% yang dijadualkan menjelang Oktober 2015.
Rata-rata, pendapatan isirumah masih belum mencapai tahap sesuai dan mencukupi untuk menyerap kesan kejutan (shocks) akibat pelaksanaan GST secara menyeluruh terutama di kalangan berpendapatan rendah dan sederhana. Ini jelas apabila hanya 1.8 juta rakyat Malaysia yang memperolehi pendapatan layak dicukai yakni setara dengan hanya 28% daripada pembayar cukai individu berdaftar seramai 6.4 juta orang atau 13.5% daripada bilangan tenaga kerja keseluruhan. Ini disokong pula oleh:
- kajian Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada 2009 yang mendapati 33.8% pekerja di sektor swasta mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM700 yakni di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebanyak RM800, garis ukur rasmi terkini bagi definisi kemiskinan nasional
- kajian KSM pada 2010 mendedahkan bahawa lebih kurang 48% daripada tenaga kerja di Malaysia berpendapatan bulanan kurang daripada RM1,000
- laporan Jabatan Perangkaan Malaysia hasil Kajian Pendapatan dan Kemudahan Asas Isirumah 2012 mendedahkan bahawa 33.8% daripada isirumah keseluruhan mempunyai pendapatan bulanan bawah RM3,000
Meskipun kadar kemiskinan nasional menunjukkan trend penurunan berterusan iaitu hanya sekitar 1% pada 2014 dan pendapatan bulanan purata isirumah bagi kategori 40% terbawah meningkat kepada RM2,313 pada 2014 berbanding RM1,440 pada 2009, terdapat beberapa kejanggalan ketara yang sukar diperjelaskan – bilangan penerima (keluarga dan individu bujang) Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) meningkat saban tahun sejak mula dilaksanakan pada awal 2012 daripada 3.8 juta isirumah pada 2012 kepada 6.8 juta pada 2014 dan 7.2 juta pada 2015 manakala 2 juta isirumah atau hampir setara dengan 8 juta orang secara purata, hidup dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
2. Legitimasi Keadilan Sosial Dalam Erti Kata Sebenar
Pada 2013, pendapatan pekerja mewakili 33.6% daripada KDNK, berbanding 64.2% bagi majikan dan 2.2% bagi cukai. Ini tidak jauh berbeza dengan 33.8% pada tahun 1971 tetapi lebih tinggi dalam bentuk lebihan kepada majikan (51.7%) dan lebih rendah dalam bentuk cukai kepada kerajaan (14.5%). Daripada anggaran 34% pada 2014, nisbah gaji pekerja kepada KDNK diunjurkan meningkat kepada hanya 40% menjelang 2020, jelas sangat rendah berbanding dengan standard antarabangsa, yang hampir kesemuanya melebihi 50% hari ini di negara-negara maju. Dengan bahagian pendapatan pekerja kepada KDNK yang sebegitu rendah, tidak hairanlah sekiranya impak kepesatan pertumbuhan KDNK kelihatan tidak selari dengan kenaikan gaji pekerja, seolah-olah golongan pekerja tidak mendapat manfaat yang setimpal hasil perkembangan ekonomi. Dengan pengagihan manfaat pertumbuhan ekonomi yang tidak saksama sebegini, maka timbul pelbagai persoalan berkaitan keadilan sosial sementelah golongan pekerja terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana yang bakal dipaksa menanggung beban GST yang lebih besar.
Dari segi bebanan cukai iaitu nisbah jumlah cukai perlu dibayar kepada pendapatan keseluruhan, GST jelas satu bentuk cukai regresif di mana golongan berpendapatan rendah terpaksa menanggung peratusan nilai cukai kepada pendapatan yang lebih tinggi dan membelanjakan bahagian yang lebih besar daripada pendapatan mereka untuk menampung peningkatan kos akibat GST. Dalam erti kata lain, dengan GST, semakin tinggi pendapatan individu, semakin kecil bahagian daripada pendapatan tersebut diperlukan untuk membayar cukai. Sebaliknya, semakin rendah pendapatan individu, semakin besar bahagian daripada pendapatan tersebut digunakan untuk membayar GST.
Kajian Murugasu et al (2013), “The Marginal Propensity to Consume Across Household Income Groups, Bank Negara Malaysia Working Paper Series WP2/2013 membuktikan bahawa kecenderungan marginal untuk berbelanja (marginal propensity to consume, MPC) bagi golongan berpendapatan rendah adalah lebih tinggi daripada golongan berpendapatan tinggi di Malaysia. Sebagai panduan, MPC bagi isirumah berpendapatan boleh guna bulanan bawah RM1,000 didapati menjangkau 0.81 manakala MPC bagi mereka berpendapatan boleh guna bulanan melebihi RM10,000 adalah 0.25.
Selanjutnya, andaikan bahawa rakyat Malaysia secara agregat dari semua lapisan masyarakat dan banjaran pendapatan membeli atau menggunakan B&P serupa yang dikenakan GST berkadar piawai 6%. Bandingkan dua isirumah serupa secara hipotetikal dari segi bilangan ahli dan keperluan asas tetapi hanya berbeza dari segi pendapatan bulanan bersih: isirumah A dengan RM1,000 dan isirumah B dengan RM10,000. Dengan menggunapakai MPC hasil kajian Murugasu et al (2013) ini, anggaran perbelanjaan bulanan isirumah A bernilai RM810 manakala isirumah B dianggarkan berbelanja RM2,500 setiap bulan. Dibandingkan nilai perbelanjaan bulanan isirumah dengan pendapatan boleh guna bulanan masing-masing, maka nisbah pembayaran GST kepada pendapatan boleh guna adalah 4.86% bagi isirumah berpendapatan rendah tetapi hanya 1.5% bagi isirumah berpendapatan tinggi. Maka jelas GST boleh dipertanggungjawabkan sekiranya ketaksamarataan dalam pelbagai aspek meningkat dan jurang kaya-miskin semakin melebar.
Kajian yang sama juga menunjukkan hubungkait berkadar songsang antara nisbah perbelanjaan keperluan asas seperti makanan kepada pendapatan dan pendapatan iaitu nisbah tersebut lebih tinggi di kalangan berpendapatan rendah tetapi semakin menyusut sejajar dengan peningkatan pendapatan. Ini antara bukti bahawa GST adalah cukai regresif kerana golongan berpendapatan rendah akan menanggung beban cukai yang lebih besar berdasarkan nisbah perbelanjaan keperluan asas kepada pendapatan. Meskipun produk makanan mentah dan makanan asas dikecualikan daripada GST, bahan makanan yang diproses seperti sardin dalam tin, roti, mi segera dan sebagainya, sesuatu yang lazim bagi kebanyakan rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan dikenakan GST.
Sesungguhnya, telah dibuktikan dalam pelbagai kajian, hubungkait langsung di antara kadar simpanan keseluruhan (total savings rate) dan jumlah pendapatan rakyat. Paras pendapatan juga memberi kesan ke atas kemampuan untuk memiliki aset kewangan cair yang bukan sahaja boleh menjadi sumber menjana pendapatan tambahan malah berfungsi sebagai “kusyen” di kala kejutan melanda atau kesukaran menghimpit. Dengan pelaksanaan GST, peruntukan golongan berpendapatan rendah untuk dibelanjakan atas keperluan asas akan bertambah, sekaligus mengurangkan pula bahagian daripada pendapatan yang boleh diketepikan untuk simpanan. Simpanan dan pegangan aset kewangan yang menyusut berpotensi mengakibatkan ketidaktentuan mendadak yang ketara tatkala sebarang kejutan melanda.
Pelaksanaan GST sudah tentu kemudiannya akan memberi kesan terhadap simpanan tunai dan pegangan aset kewangan lain di kalangan rakyat Malaysia demi menampung perbelanjaan seharian mereka. Sebagai contoh, akibat GST, kebanyakan rakyat Malaysia yang berpendapatan RM3,000 ke bawah mungkin terpaksa “menggali jauh” simpanan mereka yang memang asalnya sedikit untuk menampung kenaikan kos keperluan asas kehidupan, menghakiskan lagi “penampan” untuk masa sukar. Timbunan hutang yang perlu diservis bakal menambah lagi bebanan ke atas pengguna akhir. Umum mengetahui bahawa hutang isirumah Malaysia berada pada paras membimbangkan, bernilai RM940.4 billion pada hujung 2014 atau 87.9% dalam bentuk nisbah kepada KDNK yakni hutang isirumah tertinggi di Asia. Dalam bentuk nisbah kepada pendapatan negara (household debt to income ratio) pula, hutang isirumah Malaysia pada paras 146% pada suku keempat 2014 merupakan yang tertinggi di kalangan negara-negara membangun, jauh meninggalkan ekonomi terdekat iaitu Thailand (121%), Republik Czech (64%), Poland (59%) dan China (58%)
Walaupun GST tidak akan dilevi ke atas transaksi hartanah kediaman, GST tetap akan memberi kesan terhadap pegangan aset kekal kerana hartanah komersil dikenakan GST. Ini belum diambil kira impak tidak langsung terhadap hartanah kediaman kerana GST dilevi ke atas bahan mentah pembinaan, sekaligus meningkatkan kos pembinaan dan akhirnya harga rumah. Sudah pasti GST akan memburukkan lagi fenomena ledakan harga hartanah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini akan menyulitkan lagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana khususnya yang baru mula berkerjaya dan pasangan muda untuk memiliki rumah sendiri. Ketidakmampuan memiliki sebarang bentuk hartanah bakal memburukkan lagi situasi ketaksamarataan (inequality) dalam pemilikan aset.
Maka, regim GST terbukti memberi tekanan hebat yang sepatutnya boleh dielakkan terhadap golongan miskin serta berpendapatan rendah dan sederhana malah boleh mengakibatkan kitaran ganas ketaksamarataan. Kemungkinan besar situasi boleh menjadi lebih parah kerana dari segi pekali Gini1, Malaysia (0.421 pada 2014) hari ini merupakan negara ketiga paling tidak sama rata di ASEAN hanya di belakang Filipina (0.4714 pada 2012) dan Singapura (0.463 pada 2014).
Apabila GST diisytiharkan secara rasmi semasa pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober 2013 untuk dikuatkuasakan menjelang 1 April 2015, sebagai “timbal balas” bagi menambah pendapatan boleh guna rakyat, diumumkan juga bahawa pembayar cukai perseorangan akan menikmati penjimatan cukai pendapatan kerana kadar cukai pendapatan individu dikurangkan sebanyak 1 hingga 3 mata peratusan dengan penyusunan semula struktur pendapatan individu bercukai (individual taxable/chargeable income) termasuk pelebaran dan kenaikan had (kepada melebihi RM400,000 daripada RM100,000 sebelum ini) pada banjaran pendapatan bercukai (taxable income brackets) manakala kadar cukai maksimum 26% pula akan dikurangkan secara berperingkat-peringkat kepada 25%, 24.5% dan 24% bermula tahun 2015. Dengan langkah- langkah tersebut, dianggarkan 300,000 orang tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.
Hakikatnya, penjimatan cukai pendapatan ini hanya boleh dinikmati oleh mereka yang mempunyai pendapatan penggajian2 tahunan melebihi RM36,667 yakni setara dengan pendapatan penggajian bulanan melebihi RM3,059 kerana di bawah paras tersebut, memang tiada cukai pendapatan dikenakan. Jika dibandingkan dengan pendapatan isirumah bulanan purata bagi 2014 sebanyak RM5,919, jelas paras ambang pendapatan penggajian bulanan tidak dikenakan cukai pendapatan ini mewakili golongan berpendapatan rendah dan sederhana bawah (low and low-middle income groups). Oleh kerana GST dilevi atas nilai perbelanjaan tanpa mengambil kira latar belakang pendapatan, maka semua lapisan masyarakat termasuk golongan miskin dan berpendapatan rendah dipaksa menanggung beban GST pada kadar yang sama sedangkan penjimatan tanggungan cukai hanya dinikmati oleh golongan berpendapatan sederhana dan tinggi.
3. Legitimasi Moral Dari Perspektif Urus Tadbir Fiskal dan Tata Kelola Kewangan
Walaupun GST sering digembar-gemburkan sebagai penyelesaian mujarab untuk melebarkan asas cukai sekaligus meningkatkan pendapatan negara di samping mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pendapatan berkaitan minyak dan gas, hakikatnya kerajaan persekutuan tiada legitimasi moral untuk memperkenalkan sebarang cukai baharu selagi mana kerajaan persekutuan gagal:
- menangani apatah lagi menghapuskan sama sekali isu ketirisan, pembaziran serta amalan tidak jujur atau beretika seperti elemen korup, penyelewengan atau pecah amanah sebagaimana yang didedahkan dalam Laporan Tahunan Audit Negara sehingga mengakibatkan kerugian raksasa ditaksirkan berbillion ringgit dalam perbendaharaan negara
- memastikan pematuhan kepada asas dan falsafah disiplin fiskal dan kebijaksanaan pengurusan kewangan menerusi perbelanjaan berhemah dan berwaspada di mana perbelanjaan meragukan malah boros atau mewah tanpa keperluan wajar yang selama ini sering dimanifestasikan antara lain dalam bentuk perbekalan tambahan kerap dan perbelanjaan mengurus (operating expenditure, OPEX) jauh melebihi perbelanjaan pembangunan (development expenditure, DEVEX) telah menyumbang kepada:
- defisit fiskal tahunan berterusan sejak 1998, dari segi nilai (melepasi nilai ambang RM30 billion sejak 2008, memuncak kepada RM47.4 billion pada 2009 dan hanya menunjukkan trend penurunan di bawah paras RM40 billion sejak 2013) dan nisbah kepada KDNK (memuncak kepada 6.7% pada 2009 dan hanya mula susut di bawah paras 4% sejak 2013) “hutang awam yang tinggi ssehingga suku keempat 2014 dari segi nilai (melepasi garis ambang setengah trillion ringgit sejak hujung 2012 dan terkini RM582.83) dan nisbah kepada KDNK (terkini 54.5%% yakni sangat hampir dengan siling 55% yang ditetapkan Parlimen)
- memastikan penerapan dan pelaksanaan doktrin dan budaya urus tadbir yang baik seperti prinsip integriti, semak dan imbang (check and balance), keupayaan, kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam semua aspek pentadbiran awam
4. Legitimasi Politik
Oleh kerana GST terbukti akan mengakibatkan kesengsaraan kepada seluruh strata masyarakat secara umum terutama golongan miskin, berpendapatan rendah dan sederhana. maka amat wajar legitimasi politik dipertikaikan.,Antara persoalan utama adakah pelaksanaan GST telah mendapat restu (consent) majoriti rakyat memandangkan Rang Undang-Undang (RUU) GST telah diluluskan secara majoriti di kalangan Ahli Parlimen pro-GST mewakili kumpulan yang hanya memenangi 47% undi popular yang dipungut pada Pilihanraya Umum Ketigabelas?
Dalam pelaksanaan GST, persoalan legitimasi politik ini sangat serius untuk dipertimbangkan, diperdebatkan dan dikaji semula memandangkan:
- di bawah regim GST, hampir kesemua transaksi dan aktiviti rakyat Malaysia dimasukkan dalam pembekalan bercukai melainkan B&P yang mendapat pengecualian yakni skop pembekalan bercukai adalah jauh lebih luas dan menyeluruh berbanding dengan regim SST.
- dalam konteks Malaysia, sekali bertapak, adalah hampir mustahil untuk GST dimansuhkan melainkan diganti dengan cukai dalam bentuk lain. Malah, C4 tidak menolak kemungkinan satu hari nanti B&P yang kini dikecualikan GST akan berubah status menjadi antara pembekalan bercukai.
- terdapat kemungkinan manipulasi malah penyalahgunaan secara tidak langsung oleh kerajaan persekutuan di mana GST menjadi jalan pintas yang mudah dalam usaha untuk terus meningkatkan pendapatan menerusi kenaikan kadar piawaian GST pada kuantum yang besar dan/atau lebih kerap kerana kenaikan kadar GST tampak kurang menonjol berbanding kenaikan kadar cukai pendapatan sebagai contoh
- potensi manipulasi malah penyelewangan oleh komuniti perniagaan di mana tidak boleh dinafikan terdapat “loopholes” dalam sistem GST untuk melakukan pemalsuan, penipuan dan ketidakpatuhan sebagaimana yang berlaku di sesetengah negara seperti China
Kesimpulan
- Kerajaan persekutuan bakal meraih keuntungan terbesar memandangkan pentadbiran dan pengurusan percukaian menjadi lebih mudah pada kos yang lebih rendah; mekanisme pencegahan hakisan, pengelakan dan ketirisan cukai ditambahbaik; penguatkuasaan cukai menjadi lebih murah dan teratur kerana ciri-ciri disiplin dan penilaian kendiri serta keberkesanan ketara dalam proses kutipan.
- Kesan neutral atau hanya sedikit menguntungkan bagi perniagaan yang berdaftar dengan JKDM kerana mereka sebenarnya berfungsi sebagai “pengutip cukai” bagi pihak kerajaan persekutuan dan berhak menuntut kredit cukai input sebagai “timbal balas” sekiranya menyerahkan cukai output yang dikutip daripada pengguna akhir kepada kerajaan persekutuan dalam tempoh yang ditetapkan.
- Pengguna akhir bakal menanggung kerugian paling besar memandangkan skop pembekalan bercukai yang sangat luas meliputi hampir kesemua transaksi dan aktiviti melainkan B&P berkadar sifar dan terkecuali walaupun SST dimansuhkan. Dipaksa menjadi pembayar cukai output, pengguna akhir tidak berhak menuntut kredit cukai input.
Di Keluarkan Oleh
CENTRE TO COMBAT CORRUPTION & CRONYISM (C4)
[1] Berdasarkan data yang dikumpul dan diterbitkan oleh peihak berkuasa statistik nasional masing-masing.
[2] Kesemua pendapatan termasuk gaji pokok, faedah, elaun dan kemudahan yang tidak dikeculikan, bonus, kerja lebih masa, komisen dan sebagainya selepas ditolak potongan bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)