Kenyataan Media Bersama
23 Februari 2026
Kami kumpulan masyarakat sivil yang bertandatangan di bawah, mengambil maklum pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) 5/2026 bagi memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Kami juga telah mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Peguam Negara Tan Sri Dusuki Mokhtar yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen pada hari ini.
Setelah meneliti RUU yang dibentangkan oleh Kerajaan pada hari ini, kami berpandangan bahawa RUU ini tidak menepati semangat pemisahan yang sebenarnya. Pemisahan yang sebenar adalah pemisahan yang dapat menyeimbangkan kuasa pendakwaan dan perlindungan kepada institusi tanpa ada mana-mana satu individu memegang kekuasaan penuh dalam proses ini.
Kami melihat bahawa RUU pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dibentangkan tidak mewujudkan tahap kebebasan dan jaminan keselamatan yang mencukupi dalam pelantikan Pendakwa Raya. Dalam kenyataan ini, kami ingin menyorot beberapa perkara mustahak yang perlu diberi perhatian oleh rakyat Malaysia, terutamanya Ahli-Ahli Parlimen.
RUU ini mencadangkan bahawa Pendakwa Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicaranya, atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Kami dengan rendah diri berpendapat bahawa walaupun Perdana Menteri tidak terlibat secara langsung, beliau adalah terlibat secara tidak langsung melalui pelantikan Pengerusi SPKP di mana Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri, juga merupakan Pengerusi SPKP, yang sekarang mempunyai peranan besar dalam pelantikan pendakwa raya.
Selain itu, RUU ini tidak menjelaskan bahawa hanya nama atau nama-nama yang dicadangkan oleh SPKP mesti dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan juga telah mencadangkan perubahan di dalam pelantikan anggota-anggota lain SPKP (sila rujuk kepada pindaan kepada Perkara 138(2)(c) Perlembagaan) tanpa alasan yang munasabah. Perlu ditekankan bahawa sebarang pindaan kepada Perlembagaan bagi tujuan meluaskan kuasa budi bicara mana-mana pihak hanya harus dilakukan atas alasan perlu dan berkadaran (“necessary and proportionate) dan hanya setelah diberi peluang semakan secara terperinci oleh ahli-ahli Parlimen.
Memandangkan Pendakwa Raya baharu akan memegang kuasa yang besar, menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memperhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, kami ingin mengingatkan bahawa setiap individu berpotensi menjadi defendan dalam sesuatu prosiding jenayah. Dalam kerangka yang dicadangkan melalui RUU ini, persoalan timbul sekiranya berlaku situasi yang memerlukan Pendakwa Raya untuk mempertimbangkan tindakan jenayah terhadap mana-mana anggota atau kerabat diraja.
Justeru, kaedah terbaik untuk melantik Pendakwa Raya adalah melalui proses yang berlapis yang telus dan bertanggungjawab, di mana tidak ada mana-mana satu individu boleh mempunyai budi bicara untuk melantik Pendakwa Raya. Kami mencadangkan agar proses pelantikan Pendakwa Raya turut
melibatkan Parlimen sebagai sebuah institusi terbesar yang dipilih oleh rakyat, di mana peranan utamanya adalah untuk menjalankan semak dan imbang secara institusi. Ini dapat mengelakkan mana-mana satu individu yang berkuasa untuk melantik Pendakwa Raya tanpa ada semak imbang yang bersesuaian. Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) tidak boleh memainkan peranan ini kerana keahlian SPKP terdiri daripada mereka yang dilantik ke jawatan rasmi mereka oleh Perdana Menteri.
Pada masa yang sama, RUU yang dibentangkan tidak mempunyai mekanisme akauntabiliti yang boleh menjadi penghalang kepada salah guna kuasa atau untuk melindungi Pendakwa Raya daripada tekanan tidak wajar. Pendakwa Raya secara asasnya tidak mempunyai had atau perlindungan bagi melaksanakan kuasa dan peranan beliau. Kami sekali lagi ingin mengingatkan bahawa kelemahan struktur institusi SPRM sedia ada antara adalah kerana ketiadaan mekanisme akauntabiliti yang berkesan untuk memastikan semak dan imbang yang mengakibat ketidakpercayaan terhadap institusi ini.
Berdasarkan kerangka RUU 5/2026, Pendakwa Raya baharu akan mempunyai kuasa mutlak untuk bertindak tanpa ada ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap tindakan beliau kepada mana-mana badan yang dipilih oleh rakyat. Bahkan kuasa Pendakwa Raya adalah lebih besar daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, malah tidak juga seperti Menteri yang mempunyai kebertanggungjawaban langsung kepada Parlimen serta para pengundi mereka.
RUU yang dibentangkan perlu diperhalusi dengan lebih lanjut dan teliti sebelum Ahli-Ahli Parlimen mengambil pendirian untuk meluluskan RUU ini. Kami menggesa agar RUU ini dirujuk kepada sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JKP) di bawah Peraturan 54 dan/atau Peraturan 80B(3)(a) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk jawatankuasa terbabit membuat semakan penuh terhadap RUU ini, dan mengadakan libat urus yang bermakna bersama pihak-pihak berkepentingan yang utama.
Maklum balas yang lebih lengkap akan kami hantar secara bertulis kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dalam masa terdekat.
Dikeluarkan secara bersama oleh:
- BERSIH
- C4 Center
- IDEAS
- Projek SAMA
- Rasuah Busters
- IKRAM Malaysia
- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
