Related News: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/08/1135519/mengapa-sprm-tak-berminat-siasat-potensi-rasuah-dalam-kenyataan
Coverage by: Berita Harian
KUALA LUMPUR: Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada terdapat kesalahan berkaitan pilihan raya dalam kenyataan dibuat Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi sebelum ini.
C4 Center melalui kenyataan berkata, ia mengambil kira pendirian Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang disifatkan mengelirukan apabila memaklumkan tiada elemen rasuah dalam ucapan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO yang dibuat pada 28 Julai lalu itu.
Katanya, keyakinan kukuh Azam bahawa tindakan Ahmad Zahid tidak melanggar mana-mana undang-undang tanpa menjalankan sebarang siasatan mengenai perkara itu mencerminkan salah tafsir undang-undang yang dinyatakan.
Justeru, untuk memahami kenyataan Azam ini, penilaian terhadap Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 perlu dilakukan.
“Seksyen ini meliputi ‘amalan korup’ berunsur rasuah dan termasuk menawarkan atau menjanjikan sebarang wang atau benda berharga kepada pemilih atau pengundi, yang boleh dinilai secara munasabah dalam perlakuan yang meliputi tindakan dibuat Zahid.
“Malah, sesetengah kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga dijelaskan sebagai kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, yang mana SPRM diberi kuasa untuk melaksanakan segala kuasa menyiasat yang terkandung di dalamnya,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan pemberian geran RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan RM250,000 Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu.
Pengumuman sehari sebelum penamaan calon PRN itu dipersoalkan pelbagai pihak memandangkan ia diberikan ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, malah Ahmad Zahid turut menyebut mengenai sokongan terhadap parti dinaungi pada 12 Ogos depan, yang jelas merujuk tarikh PRN.
Berikutan itu, Azam menegaskan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh Kerajaan Persekutuan kepada belia Terengganu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah apabila menjelaskan kerajaan yang mentadbir negara berhak memberi inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.
C4 Center menegaskan, menjadi kewajipan kepada SPRM untuk sekurang-kurangnya memulakan siasatan terhadap kesalahan didakwa memandangkan maklumat boleh dipercayai mengenai pengumuman Zahid dilaporkan secara meluas dan ia secara khusus menyebut potensi penambahan jumlah peruntukan kepada kumpulan belia tertentu bergantung keputusan pilihan raya.
“Penegasan Azam Baki (berhubung kenyataan Zahid tiada unsur rasuah) tidak mempunyai sebarang asas undang-undang.
“Jika SPRM sendiri yang dipertanggungjawabkan menyiasat amalan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya enggan mengambil tindakan apabila kemungkinan berlaku amalan itu, siapa lagi yang boleh dipercayai untuk menguatkuasakan akta berkenaan,” katanya.
C4 Center turut menggesa SPRM memperjelas mengapa suruhanjaya itu tidak berniat untuk melihat menyiasat potensi kesalahan yang terkandung di bawah mandat bidang kuasanya.
Justeru, katanya, pembaharuan segera perlu dilakukan untuk memastikan kebebasan SPRM, termasuk segera menggantikan Azam yang berterusan menunjukkan kemerosotan kredibiliti suruhanjaya itu di bawah terajunya selaku Ketua Pesuruhjaya.