KENYATAAN MEDIA: Pengisytiharan Harta Langkah Penting Membanteras Rasuah dan Salahguna Kuasa

KENYATAAN MEDIA C4 CENTER
Pengisytiharan Harta Langkah Penting Membanteras Rasuah dan Salahguna Kuasa

2 Julai 2019

 C4 Center merujuk kenyataan media semalam yang menyebut Dewan Rakyat telah meluluskan usul yang mewajibkan semua ahli parlimen mengisytiharkan harta. Kami amat mengalu-alukan langkah ini yang selaras dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Kami juga menyambut baik kenyataan Menteri Liew Vui Keong bahawa satu undang-undang pengisytiharan harta sedang dalam proses penggubalan. Langkah ini amat penting dalam membentuk satu mekanisme yang efektif dalam memastikan pelaksanaan pengisytiharan harta. C4 Center sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk memberikan input berkenaan undang-undang pengisytiharan harta.

C4 Center bersama-sama kumpulan masyarakat sivil yang lain telah lama melakukan kerja-kerja advokasi untuk memastikan kerajaan menggubal satu undang-undang pengisytiharan harta di Malaysia. Sebelum pilihanraya ke-14, C4 Center dan Majlis Peguam telah menderaf satu Kerangka Pengisyitiharan Harta (Public Asset Declaration Framework). Kerangka Pengisyitiharan Harta ini mengandungi contoh borang-borang pengisytiharan harta, prinsip-prinsip, dan amalan terbaik di negara-negara demokrasi yang lain.

Kami juga ingin menyelar kenyataan ahli parlimen PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang enggan mengisytiharkan harta atas alasan larangan agama. Keengganan beliau untuk mengisytiharkan harta ini juga disokong oleh ahli parlimen pembangkang yang lain.

Sikap ahli-ahli parlimen pembangkang ini amat memalukan dan bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi. Kami menegaskan bahawa dalam sebuah negara demokratik, rakyat mempunyai hak untuk tahu dan mendapatkan maklumat berkenaan harta yang dimiliki oleh wakil rakyat demi memastikan mereka berkhidmat dengan penuh amanah, ketelusan, dan integriti.

Ahli parlimen pembangkang sepatutnya menyokong pengisytiharan harta dan berhenti menggunakan agama untuk melindungi mereka daripada dipantau oleh rakyat. Semua agama menitikberatkan sikap amanah dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Ahli-ahli parlimen pembangkang tidak perlu takut seandainya gaya hidup mereka berlandaskan agama.

Pengisytiharan harta juga dapat mengukuhkan langkah kerajaan untuk memperkenalkan peruntukan undang-undang berkenaan kekayaan yang tidak dapat diterangkan (unexplained wealth) di mana jika seseorang didapati mempunyai harta yang tidak dapat diterangkan, ia cukup untuk menjadi satu asas untuk siasatan dimulakan. Pada masa sekarang, seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta SPRM) yang membenarkan siasatan dijalankan ke atas kekayaan yang tidak dapat diterangkan amat terhad kerana ia perlu berkait dengan jenayah yang sedang disiasat di bawah Akta SPRM.

Kami menegaskan bahawa tadbir urus baik hanya boleh dicapai dengan memastikan, antara lain, adanya satu undang-undang pengisytiharan harta yang menyeluruh. Kami dengan ini menyeru agar proses penggubalan undang-undang ini dijalankan dengan telus dan mengambilkira pandangan dan input orang awam. Ini adalah kerana rakyat merupakan ejen semak imbang yang amat penting dalam memastikan amalan rasuah dan salahguna kuasa dalam kerajaan dibanteras.

Dikeluarkan:
Cynthia Gabriel
Pengarah Eksekutif, C4 Center

Kerangka Pengisyitiharan Harta boleh diakses di sini:
https://c4center.org/pledge-public-asset-declaration-framework