Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU): Keuntungan diswastaan, kerugian disosialisasikan?

SIARAN MEDIA

Dikemaskinikan pada 6 SEPTEMBER 2021

Setelah menerima bantahan keras daripada semua lapisan masyarakat, MB Selangor Amirudin Shari telah memberi jaminan untuk menangguhkan proses penyahwartaan HSKLU dan akan membawa isu ini ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 8 September ini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, telah menafikan kewujudan hubungan antaranya dengan mana-mana syarikat atau projek pembangunan di HSKLU.

Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU): Keuntungan diswastaan, kerugian disosialisasikan?

Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menyokong seruan untuk memanggil Menteri Besar Selangor (MB) Amirudin Shari tampil ke hadapan bagi menjelaskan rancangan penyahwartaan dan pemusnahan 536.7 hektar (865 padang bola) hutan paya gambut yang merupakan antara satu-satunya hutan paya gambut yang masih wujud di selatan Selangor.

Kami bersatu suara menyokong tentangan rakyat terhadap keputusan ini yang telah dibuat secara rahsia dan disorok selama tiga bulan sebelum diumumkan. Kami tahu bahawa kerahsiaan sering melibatkan rasuah, dan melalui kerahsiaan, kesilapan dapat dipertahankan dengan penyelewengan fakta.

Perlu diingatkan bahawa pelan untuk menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) telah menerima sebanyak 45,423 bantahan, kehadiran baik daripada orang ramai semasa sesi dialog awam yang dianjurkan secara tergesa-gesa, petisyen dalam talian yang berjaya mengumpulkan 130,000 tandatangan, hampir 1,500 emel yang dihantar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi menyuarakan bantahan terhadap penyahwartaan ini, serta kempen media besar-besaran yang dijalankan oleh pelbagai media tempatan.

Di samping itu, 56 ADUN Selangor daripada parti politik berbeza telah sebulat suara menyokong usul bagi melindungi semua hutan simpan di Selangor pada November lalu, termasuklah MB dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor. Beberapa ahli parlimen juga telah menyuarakan bantahan mereka.

Namun, kerajaan Selangor masih berkeras untuk menyahwarta hutan simpan ini dan menyerahkan tanah tersebut kepada pemaju hartanah swasta untuk pembangunan komersial campuran. Apakah sebabnya? Apakah yang mendorong sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat untuk mengabaikan pendapat umum dan rela menghadapi amarah mereka?

Kami juga mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri kerana sebab yang diberikan untuk penyahwartaan ini sering diubah mengikut keperluan semasa. Ini menimbulkan beberapa persoalan yang mengetengahkan isu ketidakcekapan pentadbiran dan kekurangan kebertanggungjawaban dalam badan kerajaan negeri.

1. Di manakah kebertanggungjawaban, ketelusan, dan proses libat urus dalam keputusan penyahwartaan ini?

Mengapakah keputusan ini dirahsiakan walaupun ini merupakan isu penting bagi masyarakat umum?

Exco kerajaan negeri Selangor, Hee Loy Sian mendedahkan bahawa tidak ada bantahan daripada Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia dan lain-lain lagi semasa mesyuarat-mesyuarat teknikal.

Namun, apabila PEKA (Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam) mengemukakan permintaan rasmi melalui Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 untuk dapatkan salinan laporan Jabatan Perhutanan mengenai HSKLU, permintaan mereka ditolak. Dokumen hasil daripada sesi dialog awam yang dijalankan juga tidak disediakan bagi mereka yang menghadirinya.

Jika faedah pembangunan akan melebihi kos yang akan ditanggung disebabkan penyahwartaan ini, mengapakah laporan-laporan teknikal masih tidak dikeluarkan untuk meredakan amarah dan ketakutan rakyat?

Dalam beberapa bulan yang lepas ini, beberapa pegawai majlis perbandaran di Selangor telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Penduduk Kuala Langat mendakwa bahawa bekas Yang diPertua Majlis Perbandaran Kuala Langat pada ketika itu mungkin juga terlibat.

Masyarakat Orang Asli yang tinggal di sekitar HSKLU juga dilaporkan telah diasak untuk menyokong penyahwartaan hutan berkenaan. Ini jelas menunjukkan yang hak mereka ke atas tanah adat milik nenek moyang telah diabaikan.

Tanpa ketelusan dan kebertanggungjawaban, rakyat pasti mengesyaki wujudnya campur tangan daripada pihak yang tidak diketahui dalam isu penyahwartaan HSKLU kerana MB sendiri telah mengakui kewujudan pengaruh luar dalam urusan negeri ini.

2. Apakah sebab dan cara Gabungan Indah Sdn Bhd dipilih sebagai pemaju?

Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan beberapa laporan lain, Gabungan Indah (diperbadankan 2 Disember 2020) dimiliki sepenuhnya oleh Vibrantscape Sdn Bhd (diperbadankan 1 Disember 2020), dan syarikat itu pula dimiliki sepenuhnya oleh Perdana Parkcity, pemaju Desa Parkcity di Kuala Lumpur. Gabungan Indah dan Vibrantscape merupakan syarikat rak dengan hanya RM1 sebagai modal berbayar.

Ini berlaku setelah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor) dikritik disebabkan konflik kepentingan ketika mereka mengajukan permohonan penyahwartaan ini, walaupun pada ketika itu MB sendiri menganggotai jawatankuasa yang membuat keputusan.

Pada bulan Mac tahun lepas, MB Selangor mendedahkan bahawa Titian Jutaria Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan keluarga diraja Selangor, dan MBI Selangor telah mencadangkan pelan pembangunan di HSKLU. Pada ketika ini, Titian Jutaria Sdn Bhd telah pun dibubarkan.

Pihak swasta yang bakal memperoleh keuntungan daripada penyahwartaan ini mesti dipilih berdasarkan merit, secara telus, tanpa pengaruh luar dalam prosedur kerajaan.

3. Siapa yang untung dan siapa yang rugi?

Gangguan terhadap ekologi kawasan ini boleh menyebabkan bencana alam sekitar pada masa akan datang. Kawasan ini dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 dalam Rancangan Fizikal Negara (pembangunan, pertanian atau pembalakan tidak dibenarkan), dan juga KSAS Risiko Bencana sebagai hutan paya gambut dalam Pelan Struktur Selangor 2035. Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030 telah mengelaskan HSKLU sebagai zon di mana sebarang aktiviti pembangunan tidak dibenarkan.

Selain itu, setelah penyahwartaan berlaku, penggerak projek masih perlu menyerahkan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), di mana yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah alam sekitar bagi memajukan tanah. Namun, garis panduan EIA menyatakan bahawa penggerak projek digalakkan supaya tidak memilih lokasi yang berada dalam atau berdekatan dengan KSAS.

Penyahwartaan oleh kerajaan negeri ini secara jelas melanggar peraturan, garis panduan, pelan rancangan, dan juga komitmen negara kita di bawah perjanjian antarabangsa seperti Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi.

Tambahan pula, apabila berlakunya bencana alam sekitar seperti banjir kilat yang melanda daerah Yan di Kedah baru-baru ini, kos dan risikonya akan ditanggung oleh rakyat dan kerajaan. Jelas sekali ini adalah satu kes di mana keuntungan diswastakan dan kerugian ditanggung oleh rakyat.

Kami menuntut jawapan mengenai pihak sebenar yang bertanggungjawab atas isu ini.

C4 Center menggesa kerajaan negeri Selangor untuk:

  1. Mengemukakan laporan teknikal mengenai HSKLU atas sebab kes ini melibatkan kepentingan awam, dan memberi risiko kesihatan dan iklim yang tinggi kepada penduduk Selangor jika penyahwartaan ini dijalankan;
  2. Menghormati kehendak rakyat dan menarik balik keputusan untuk menyahwarta HSKLU;
  3. Memahami dan menegakkan hak tanah adat masyarakat Temuan yang tinggal di sekitar HSKLU;
  4. Menerangkan bagaimana keputusan ini dibuat, sebab ia diputuskan dengan cara mencurigakan ini, dan mengapa keputusan tersebut dirahsiakan selama 3 bulan. Adakah terdapat anasir luar yang terlibat dalam keputusan ini? 

Kami mengingatkan kerajaan negeri bahawa setiap tindakannya harus dilakukan demi kepentingan rakyat dengan mengimbangkan keperluan pembangunan ekonomi dan perlindungan alam sekitar. Tugas ini seharusnya dijalankan dengan telus.

Keperluan awam komuniti yang bergantung kepada sumber hutan tidak harus diketepikan demi menjaga kepentingan golongan atasan. Pembangunan ekonomi perlu membawa kebaikan bagi semua pihak, dan bukannya membawa keuntungan dan faedah kepada pemodal dan pemilik aset semata-mata. Agensi teknikal perlu diberikan kebebasan untuk memastikan usaha wajar (due diligence) dilakukan tanpa rasa takut atau memihak kepada mana-mana entiti.

Dengan budaya korupsi dan rasuah yang berleluasa di Malaysia, pengaruh ahli perniagaan dalam politik, dan konflik kepentingan yang sering timbul, kita perlu memastikan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab untuk membanteras rasuah dan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan.

TAMAT

Disiarkan oleh:

Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center)

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi 012-379 2189 / 03-7660 5140

SHARE THIS:

Share on facebook
FACEBOOK
Share on twitter
TWITTER

THANK YOU!

All publications by C4 Center are downloadable for free. Much resources and funds have been put into ensuring that we conduct cutting edge research work for these issues to be brought to the attention of the general public, authorities, as well as public policymakers and lawmakers. If you like our work, please do consider supporting us by donating to us. Your financial support will go a long way in ensuring that we can continue fighting for a clean, and better, Malaysia.