KENYATAAN MEDIA
28 OGOS 2025
Pada 27 Ogos 2025, bacaan kedua Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 (RUU PK) telah dibentangkan di Dewan Rakyat. Rang undang-undang ini menerima kritikan hebat daripada Ahli Parlimen pembangkang malah daripada sebahagian anggota kerajaan Madani sendiri. Sebelum ini, Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4 Center) telah meneliti rang undang-undang tersebut dalam kenyataan bertarikh 26 Ogos 2025, dan telah menimbulkan isu-isu utama berikut:
- Memberi kuasa kelulusan perolehan yang hampir tidak terbatas kepada Menteri Kewangan serta Menteri Besar di peringkat negeri;
- Penubuhan Tribunal Rayuan dan proses rayuan yang tidak bebas daripada pengaruh Eksekutif;
- Penumpuan kuasa pada Pendaftar yang boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan;
- Banyak klausa yang melemahkan pengawasan, akauntabiliti dan skop RUU; dan
- Pegawai awam yang diberi kuasa di bawah Perbendaharaan dan Pihak Berkuasa Kewangan Negeri kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan yang, dalam beberapa keadaan, melebihi kuasa polis.
Isu-isu ini telah disuarakan dalam Dewan Rakyat semalam. C4 Center menegaskan bahawa rang undang-undang ini dalam bentuknya sekarang tidak akan menyelesaikan masalah sedia ada dalam sistem perolehan. Sebaliknya, ia hanya mengukuhkan kelemahan institusi dalam status quo yang sebelum ini membawa kepada korupsi secara besar-besaran.
Oleh itu, C4 Center menuntut agar kerajaan tidak meluluskan RUU PK dalam bentuknya sekarang. Rang undang-undang ini perlu disemak semula bersama pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang bermakna — termasuk penelitian oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kewangan dan Ekonomi — untuk memastikan satu rejim perolehan yang benar-benar memperkukuh integriti, ketelusan, dan memberi manfaat kepada rakyat. C4 Center menekankan beberapa isu lanjut berkenaan RUU ini di bawah.
1. RUU PK tergesa-gesa dibawa
Isu besar yang dibangkitkan di Dewan Rakyat ialah tempoh masa yang terlalu singkat daripada penerbitan ‘kertas putih’ oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) hingga ke bacaan terkininya di Parlimen. Kronologi yang dinyatakan adalah seperti berikut:
- 12 Ogos – Kertas putih dikemukakan oleh AGC dan diedarkan dalam mesyuarat Kabinet untuk diringkaskan
- 20 Ogos – Kertas putih dibawa ke Kabinet
- 22 Ogos – Mesyuarat Kabinet meluluskan draf RUU
- 23–24 Ogos – RUU bercetak (blue bill) diterbitkan
- 25 Ogos – Bacaan pertama di Dewan Rakyat
- 26 Ogos – Sesi taklimat RUU bersama Ahli Parlimen kerajaan
- 27 Ogos – Bacaan kedua RUU
Seperti yang telah dinyatakan dengan tepat di Parlimen, hampir keseluruhan usaha untuk meluluskan RUU ini berlaku dalam tempoh 15 hari. Ini menimbulkan persoalan serius mengapa kerajaan begitu tergesa-gesa dalam proses penggubalan undang-undang ini.
Hal ini amat membimbangkan kerana:
- RUU ini adalah satu undang-undang baharu yang akan mengawal hampir semua perolehan kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri;
- RUU setebal 91 muka surat dengan 93 klausa ini melibatkan aspek serius dalam tadbir urus berkaitan perbelanjaan kerajaan, ekonomi negara, dan infrastruktur;
- Ahli Parlimen, komuniti perniagaan, masyarakat sivil, dan orang awam jelas sekali tidak diberikan masa yang mencukupi untuk membaca, menganalisis kandungan serta implikasi, dan mengemukakan soalan mengenainya dalam hanya dua hari antara bacaan pertama dan bacaan kedua/ketiga.
2. RUU PK menumpukan kuasa kepada Menteri Kewangan
Terdapat banyak peruntukan dalam RUU PK yang memberikan kuasa luas kepada Menteri Kewangan serta Menteri Besar yang telah diketengahkan oleh C4 Center dalam analisis asal kami, dan diulangi dalam Dewan Rakyat.
Tahap kuasa yang diberikan kepada Menteri amat mengejutkan: Menteri boleh meluluskan perolehan tanpa had nilai kontrak, menetapkan peraturan serta proses kelulusan, melantik ahli Tribunal Rayuan, mengecualikan individu atau kategori orang daripada tertakluk kepada undang-undang ini, serta meminda Jadual yang menetapkan nilai kontrak yang boleh diluluskan oleh badan kelulusan. Adalah jelas bahawa RUU PK ini memberi kuasa berlebihan kepada Menteri Kewangan tanpa ada semak imbang yang bermakna.
Ahli Parlimen yang menyokong rang undang-undang ini tidak menafikan kuasa besar tersebut, tetapi berhujah adanya “kawalan dalaman” yang mencukupi. Namun, “kawalan dalaman” yang disebut sebenarnya amat terhad, dan yang sedia ada pun tidak banyak membantu mengurangkan risiko korupsi serta salah guna kuasa yang hampir pasti akan timbul sekiranya Menteri diberikan kuasa yang begitu luas dalam perolehan kerajaan.
Antara “kawalan dalaman” yang disebut ialah:
- Klausa 37: kewajipan untuk menzahirkan kepentingan bagi sesiapa yang mentadbir, menjalankan, atau melaksanakan perolehan kerajaan, dengan hukuman denda/penjara jika gagal;
- Klausa 79: prosiding Tribunal Rayuan dibuat terbuka kepada awam;
- Klausa 6: peranan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk mengurus, mengawal dan menyelia hal berkaitan rang undang-undang ini.
Namun, kewajipan pendedahan kepentingan terlalu terhad dan tiada peruntukan yang mewajibkan Menteri mengundurkan diri apabila wujud konflik kepentingan.
Begitu juga, apa gunanya pendengaran awam sekiranya Menteri sendiri yang melantik ahli Tribunal Rayuan, dan tiada saluran bagi orang awam untuk menyertai atau meneliti proses perolehan kerajaan? Dalam hal ini, pendengaran awam hanyalah sekadar menjadi tanda semak dalam keperluan proses.
Dengan merujuk Klausa 6 pula, tiada sebarang peruntukan yang menyatakan kuasa Menteri boleh disemak atau dikawal oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Malah, Klausa 13(4) dengan jelas menyatakan kelulusan Menteri adalah “muktamad” – tiada peruntukan yang menyatakan bahawa Ketua Setiausaha berkuasa untuk mengambil tindakan dalam aspek ini atau apa-apa keputusan lain.
Lebih membimbangkan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan adalah sebahagian daripada Eksekutif yang tertakluk kepada Menteri Kewangan, yang juga kini adalah Perdana Menteri. Perbendaharaan pula adalah agensi di bawah Kementerian Kewangan. Jadi, bagaimana mungkin Ketua Setiausaha akan mengawal kuasa Menteri yang merupakan ketuanya?
3. Adakah RUU PK benar-benar dapat mengawal isu sub-kontrak yang berleluasa?
Antara sebab utama yang dibangkitkan oleh penyokong RUU PK adalah bahawa RUU ini penting sekali untuk memberhentikan gejala subkontrak yang berleluasa dan tidak terkawal – suatu budaya yang telah mengakibatkan ketirisan wang kerajaan dan menyebabkan projek infrastruktur yang sakit atau tidak berkualiti.
Ahli-ahli Parlimen menyatakan bahawa Klausa 35 tentang “Larangan pemindahan pemberian atau kontrak perolehan Kerajaan” akan dapat menghalang sub-kontrak.
Namun, klausa ini tidak benar-benar melarang sub-kontrak kerana ia hanya menghalang pemindahan, penyerahhakan atau pembuatan novasi kontrak tanpa kelulusan pegawai pengawal yang bertanggungjawab. Hakikatnya, halangan ini amat minimum kerana kelulusan seorang pegawai pengawal itu bukannya had yang tinggi, dan ini tidak akan menghalang pembentukan kartel dalam perkhidmatan awam.
Tambahan pula, Klausa 35 hanya terpakai kepada “orang berdaftar” iaitu pembekal yang berdaftar dengan Pendaftar Perolehan Kerajaan di bawah Klausa 18. RUU ini tidak memperuntukkan secara nyata bahawa pemindahan dsb. suatu kontrak di bawah Klausa 35 harus dibuat kepada “orang berdaftar” juga, atau sekiranya penerima sub-kontrak seterusnya turut harus berdaftar. Maka, sub-kontrak masih boleh berleluasa jika kelulusan pegawai pengawal hanya diperlukan bagi orang berdaftar pertama.
4. Mekanisme semak imbang yang tidak berkesan
Ramai Ahli Parlimen menyokong RUU ini atas alasan mekanisme semak imbang yang sebenarnya tidak wujud dalam teks RUU ini. Istilah kabur seperti “akauntabiliti kepada Parlimen,” “berasaskan prestasi,” dan “ketelusan” digunakan, tetapi tiada peruntukan yang benar-benar mewajibkannya.
Pertama, tiada klausa yang memperuntukkan mana-mana jawatan dalam RUU ini akan dipilih melalui undian di Parlimen, dan tiada peruntukkan tentang tanggungjawab melaporkan dapatan kepada Parlimen. Tiada juga peruntukan mengenai prestasi sebagai ukuran pembekal atau entiti perolehan. Tidak jelas mengapa perkara-perkara tersebut dibangkitkan.
Mengenai isu ketelusan pula, RUU ini tidak memperuntukkan tahap minima penzahiran maklumat berkenaan perolehan oleh mana-mana pihak, malah tidak mewajibkan sebarang penzahiran maklumat sekalipun. Satu-satunya klausa yang merujuk kepada perkara ini ialah Klausa 25 mengenai “Kuasa untuk menyiarkan maklumat”:
“Jika Pendaftar fikirkan perlu atau suai manfaat demi kepentingan awam, Pendaftar boleh menyiarkan apa-apa maklumat dalam bentuk dan cara sebagaimana yang ditentukan oleh Pendaftar…”
Implikasi peruntukan ini adalah:
- Pendaftar boleh membuat keputusan atas budi bicaranya sendiri sama ada sesuatu maklumat itu berkepentingan awam atau tidak;
- Walaupun Pendaftar mendapati bahawa sesuatu maklumat itu berkepentingan awam, Pendaftar masih tidak wajib menyiarkannya.
Di bawah Klausa 14, Pendaftar Perolehan Kerajaan ialah pegawai awam Perbendaharaan yang dilantik oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, menjadikannya tidak bebas dan tetap tertakluk kepada Kementerian Kewangan.
5. Harapan palsu masa depan
Akhir sekali, dan mungkin sebagai satu cara melindungi kekurangan nyata RUU ini, ramai penyokong RUU ini berhujah bahawa RUU boleh dipinda dan ditambahbaik selepas diluluskan dan bahawa RUU ini lebih baik daripada tiada.
C4 Center menolak sepenuhnya hujah ini. RUU PK ini adalah berbahaya dan memudaratkan. RUU ini hanyalah undang-undang yang tergesa-gesa, cacat, dan dengan jelas mengorbankan prinsip tadbir urus baik serta antirasuah demi kepentingan politik.
Ia bukan penambahbaikan, sebaliknya kemunduran drastik — ia mengukuhkan, mengkanunkan dan mensahihkan prosedur yang mendatangkan rasuah serta campur tangan Menteri dalam perolehan kerajaan yang sedia ada, lantas menjadikan remedi lebih mustahil.
Skandal perolehan besar seperti kapal tempur pesisir (LCS), kapal selam Scorpene, ventilator rosak semasa pandemik COVID-19, dan banyak lagi semuanya berpunca daripada keputusan unilateral Menteri. RUU ini akan membuka ruang kepada skandal serupa berulang.
Tiada jaminan bahawa RUU ini akan dipinda selepas diluluskan dalam masa terdekat. Ahli-ahli Parlimen Kerajaan sungguh tergesa-gesa menggubal RUU ini, walhal kritikan dan desakan menyemak semula RUU ini datangnya daripada Ahli-ahli Parlimen dalam gabungan kerajaan sendiri.
C4 Center menyokong gesaan Ahli-ahli Parlimen yang menolak RUU ini dan mendesak agar RUU ini dirujuk kembali kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kewangan dan Ekonomi yang jelas diketepikan dalam fasa awal penggubalan. Undian sokong kepada RUU ini amat memalukan — terutamanya bagi Ahli-ahli Parlimen yang dulu pernah memperjuangkan reformasi bermakna. RUU PK 2025 tidak boleh diluluskan.
AKHIR KENYATAAN
Diterbitkan oleh:
Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4 Center)
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi:
c4center@gmail.com
019-216 6218
