Anwar: Permohonan Najib tidak dibincangkan semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan

Coverage by: BenarNews

Related News: https://www.benarnews.org/malay/berita/my-anwar-ampun-230501-05012023155225.html

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin berkata isu pengampunan DiRaja bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara tidak dibincangkan semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang minggu lalu, lantaran kenyataan terbuka rakan-rakannya dalam gabungan Pakatan Harapan yang menegaskan bekas pemimpin itu tidak wajar mendapat pengampunan.

Komen-komen berkenaan telah menimbulkan kemarahan para penyokong Najib dalri arti UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), yang menyokong kerajaan Anwar, sekaligus membuatkan Anwar mengulangi pendirian bahawa setiap banduan mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan.

“Seperti yang pernah saya katakan, setiap individu yang disabitkan kesalahan atau banduan berhak membuat rayuan. Kita mempertimbangkan untuk menyemak atas dasar ihsan, secara profesional dan tanpa prejudis,” kata Anwar kepada media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Pekerja di Putrajaya pada Isnin.

“Apabila tiba masanya. Ini pendirian yang kita ambil. Namun yang jelas, kita tidak bincangkan semasa pertemuaan dengan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini,” ujarnya lagi menjawab persoalan berkaitan permohonan Najib.

Tahun lalu, Najib diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya bagi mengetepikan sabitan kesalahan berkaitan anak syarikat 1MDB, SRC International.

Najib telah menggunakan semua proses rayuan perundangan dan telah memohon Pengampunan DiRaja dalam usaha akhirnya untuk membebaskan diri.

Setiausaha Lembaga Pengampunan, Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan Isnin berkata kertas rayuan pengampunan Najib Razak tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini (Jumaat, 28 April).

“Sebaliknya, kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” demikian menurut Khairul Dzaimee yang juga ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dianggotai oleh Yang di-Pertuan Agong serta Peguam Negara, menteri kerajaan persekutuan, dan tiga lagi ahli panel yang dilantik oleh YDP Agong.

Menurut amalan biasa, pengampunan DiRaja dikurniakan pada hari sambutan ulangtahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang jatuh pada 5 Jun.

Bagaimanapun, kekerapan Lembaga itu bersidang tidak ditetapkan, begitu juga dengan tempoh pertimbangan bagi sesuatu rayuan yang dikemukan oleh para banduan.

Awal April lalu, Majlis Tertinggi UMNO – badan tertinggi parti itu mengemukakan permohonan kepada Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Permohonan itu difailkan menurut kuasa yang diperuntukkan kepada Agong mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

UMNO adalah parti tunjang Barisan Nasional yang memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan, sebelum tumbang buat pertama kali dalam sejarah kepada gabungan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018.

Barisan Nasional dengan 30 Ahli Parlimen yang diketuai oleh Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, memberi sokongan kepada Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 di bawah Kerajaan Perpaduan, apabila tiada gabungan berjaya memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 pada November lalu.

Cetus ketegangan

Skandal kleptrokasi melibatkan dana berbilion-bilion ringgit melibatkan 1MDB dibawah pentadbiran Najib telah menjadi isu utama yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan sehingga membawa kepada tumbangnya kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya 2018.

Seperti dijangka, langkah UMNO memohon pengampunan DiRaja bagi pihak Najib mencetuskan ketegangan di kalangan parti gabungan dalam Pakatan Harapan, termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dari parti PKR yang diketuai oleh Anwar.

Hassan dalam satu hantaran Facebook pada 10 April lalu memberi amaran tegas sekiranya Najib mendapat pengampunan DiRaja dan 47 kes pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pelupusan wang haram ke atas Zahid digugurkan, ia “adalah satu malapetaka kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim”.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu diingatkan. Gabungan politik Pakatan Harapan dan Parti Keadilan Rakyat akan ditolak dalam enam pilihan raya negeri tidak lama lagi. PH dan Keadilan seterusnya akan dinyahkan oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Kesudahannya, PH dan Keadilan akan rebah dan tersungkur bersama-sama BN dan UMNO jika Najib Razak dan Zahid Hamidi bebas dan lepas dengan negitu mudah sekali,” kata Hassan.

Pandangan itu turut dikongsi oleh Lim Kit Siang, pemimpin veteran parti DAP, parti gabungan utama Pakatan Harapan dalam kerajaan.

“Saya fikir menjadi satu kesilapan untuk percaya bahawa UMNO hanya boleh kembali ke zaman kegemilangannya jika Najib diampunkan.

“Sebaliknya, saya percaya pengampunan Najib sekarang tidak akan menguntungkan Umno sama sekali sebaliknya hanya akan menguntungkan PAS dan Bersatu, selain menyebabkan keruntuhan kerajaan perpaduan Anwar,” ujar Lim dalam satu kenyataan pada 15 April.

Gabungan Demokratik Bersatu Malaysia (MUDA), salah sebuah parti yang menyokong Pakatan Harapan turut bertegas menolak usaha memohon pengampunan DiRaja oleh Najib.

Menurut parti itu langkah memberi keampunan kepada Najib bertentangan dengan prinsip undang-undang dan memberi isyarat yang salah kepada rakyat.

“Mengampunkan Najib tatkala dia baru menjalani hukuman akan memberi isyarat bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai pengaruh boleh mengatasi undang-undang,” ujar parti yang berteraskan anak-anak muda berkenaan.

Kata dua

Baru-baru ini, Khalid Samad pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), satu lagi parti komponen Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan merayu kepada YDP Agong supaya menolak permohonan pengampunan terhadap Najib.

Pemimpin kanan UMNO Mohd Puad Zarkashi membidas Khalid dan menyifatkan Amanah sebagai parti ‘kawan makan kawan’.

Kepimpinan UMNO di Kelantan, salah sebuah negeri yang bakal berdepan pilihan raya negeri, memberi kata dua kepada Khalid supaya memohon maaf atau UMNO negeri itu akan menarik balik kerjasama di negeri itu.

Pada Sabtu, Zahid meminta pihak lain termasuk rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar agar berhenti memberikan komen yang tidak sepatutnya berhubung isu pengampunan terhadap bekas perdana menteri itu.

“Pendirian UMNO adalah pendirian rasmi parti kita untuk memohon pengampunan bagi mantan perdana menteri dan mantan Presiden UMNO, itu adalah tanggungjawab kami sebagai sebuah parti yang pernah beliau ketuai dan tentu ini adalah pendirian kita untuk juga dihormati oleh pihak lain terutama rakan rakan dalam komponen kerajaan perpaduan,” ujarnya kepada media pada majlis sambutan Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan pada Ahad berkata mana-mana pemimpin dalam parti itu berhak menyuarakan pandangan masing-masing berhubung isu pengampunan Najib, namun menegaskan mereka tetap terikat dengan keputusan parti dan menghormati sebarang keputusan Agong yang mempunyai kuasa tertinggi untuk membuat keputusan.

“Amanah, PKR atau DAP yang bergabung dalam Pakatan Harapan tertakluk kepada keputusan PH yang perlu diutamakan jika bercanggah dengan keputusan parti.

“Begitu juga dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini, keputusan di peringkat gabungan Kerajaan Perpaduan mengatasi keputusan parti-parti atau pakatan politik masing-masing dan ianya perlu diutamakan,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Anwar tersepit

Penganalisis politik, Oh Ei Sun berkata tindakan UMNO itu akan memberi kesan ke atas imej Anwar.

“Anwar berkemungkinan akan kelihatan buruk di mata para penyokong Pakatan Harapan, tapi saya fikir walaupun dengan berat hati mereka tetap akan mengundi PH-BN, sekiranya tidak, mereka akan memberi ruang kepada Perikatan Nasional untuk memerintah, sesuatu yang tidak dapat diterima oleh mereka,” ujar felo kanan Institut Hubungan Antarabangsa Singapura itu kepada Benarnews.

Sementara itu, Pushpan Murugiah, ketua pegawai eksekutif Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) menegaskan semua parti politik seharusnya memberi keutamaan kepada agenda reformasi negara dan bukannya mempolitikkan isu pembebasan banduan.

“Parti-parti politik sepatutnya memberi tumpuan kepada agenda reformasi negara dan menyelesaikan isu kebajikan rakyat, dan bukannya menggunakan isu pengampunan seorang pesalah sebagai alat politik,” ujarnya kepada BenarNews.

Pushpan berkata adalah tidak wajar bagi Najib untuk memohon pengampunan DiRaja tatkala dia masih berdepan perbicaraan bagi lain-lain kes di mahkamah.

SHARE THIS:

FACEBOOK
TWITTER

THANK YOU!

All publications by C4 Center are downloadable for free. Much resources and funds have been put into ensuring that we conduct cutting edge research work for these issues to be brought to the attention of the general public, authorities, as well as public policymakers and lawmakers. If you like our work, please do consider supporting us by donating to us. Your financial support will go a long way in ensuring that we can continue fighting for a clean, and better, Malaysia.