
KENYATAAN MEDIA 23 JANUARI 2019
C4 Center amat bimbang dengan satu lagi transaksi tanah yang didakwa berkaitan dengan Taman Rimba Kiara (TRK). Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) telah membantah projek pembangunan bertingkat-tinggi sejak dua tahun lalu. Penduduk di sana telah memohon tanah itu diwartakan sebagai taman awam untuk mengelakkan pembangunan berterusan.
TRK terdiri daripada tanah seluas 25 ekar milik kerajaan negeri berdasarkan carian Pejabat Tanah pada tahun 2010. Terdapat sebuah Kuil Hindu (o.6 ekar), rumah panjang Bukit Kiara (4.4 ekar) dan taman hijau (20 ekar). Pada tahun 2014, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah memperolehi geran tanah (PT 9244) untuk 12 ekar daripada 25 ekar tanah tersebut. Ini adalah seperti pemindahan tanah negeri kepada YWP.
Pada 7 April 2014, YWP telah menandatangani satu perjanjian usaha sama dengan Memang Perkasa Sdn Bhd untuk membangunkan tanah 12 ekar dengan nilai pembangunan kasar dijangka melebihi RM3.0 bilion. Pembangunan ini melibatkan pembinaan lapan blok pangsapuri servis mewah 42-45 tingkat, yang akan dikenali sebagai Pavilion Taman Tun dan satu blok 29 tingkat yang mempunyai 350 unit untuk penduduk rumah panjang Bukit Kiara.
Penduduk TTDI telahpun bersetuju dengan projek perumahan mampu milik untuk penghuni rumah panjang yang dipersetujui dalam tahun 1970-an. Tetapi mereka sekeras-kerasnya menentang pembinaan pangsapuri servis mewah.
Persoalannya ialah mengapa YWP terlibat dalam projek usaha sama mega walhal ia merupakan yayasan yang bertujuan untuk membantu meningkatkan sosioekonomi kumpulan berpendapatan rendah menerusi pendidikan?
Siapa sebenarnya di belakang YWP?
Carian di laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa para Pemegang Amanah YWP juga meupakan Pengarah yayasan tersebut. Ia juga menunjukkan dengan ketara bahawa Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor (Tengku Adnan), yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan (WP), adalah Pengerusi YWP ketika itu. Tengku Adnan sebagai Menteri WP secara am-nya juga memegang jawatan Pengerusi YWP. Sebagai Menteri WP dan Pengerusi YWP, Tengku Adnan mempunyai kawalan langsung ke atas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga Datuk Bandar KL. Tan Sri Datuk Seri Hj Mohd Amin Nordin adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur serta Pengarah YWP ketika itu.
Pada 13 Julai 2017, DBKL telah meluluskan Perintah Pembangunan untuk projek mega ini, walaupun terdapat bantahan dari masyarakat TTDI.
C4 Center merujuk kepada penjelasan Menteri WP sekarang, yang juga Pengerusi YWP baru Tuan Khalid Samad.
“Tiada sebab untuk DBKL menjual tanah, sebab itu jualan ini amat mecurigakan kami. Mereka (jualan tanah) tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard); mereka tidak mengikuti pembangunan yang diluluskan; mereka tidak mengikut garispanduan dari segi kepadatan, penggunaan dan sebagainya” katanya.
https://www.edgeprop.my/content/1409381/ft-minister-64-parcels-land-sold-dbkl-just-beginning
Hasil kajian hasil carian kami di laman SSM adalah seperti yang tertera dalam jadual berikut:-

| Syarikat | Pemegang Saham | Pengarah |
| Memang Perkasa Sdn Bhd | Tegap Dinamik Sdn Bhd (90.9%)Malton Berhad (0.1%)Regal Marvel Construction Sdn Bhd (9.0%) (as at June 2016) | Mohd Khairuddin Bin Hj NawawiAhmad Lazri Bin Long Ahmad Zainal AbidinLim Siew FaiHong Lay ChuanChua Thian Teck |
| Malton Berhad | Pemaju hartanah di Malaysia dan Tan Sri Desmond Lim ialah Pengerusi Bukan Eksekutif dan pemegang saham utama. Beliau juga ialah Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas untuk Pavilion REIT Management Sdn Bhd, Pengurus untuk Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) and Pengerusi Eksekutif untuk WCT Holdings Berhad. | |
| Tegap Dinamik Sdn Bhd | Mohd Khairuddin Bin Hj Nawawi (49%)Ahmad Lazri Bin Long Ahmad Zainal Abidin (30%)Rosmanira Binti Junoh (21%) | Mohd Khairuddin Bin Hj NawawiAhmad Lazri Bin Long Ahmad Zainal AbidinRosmanira Binti Junoh |
| Regal Marvel Construction Sdn Bhd | Dimiliki sepenuhnya oleh Malton Berhad | Hong Lay ChuanChua Thian Teck |
| Aman Ikhtisas Sdn Bhd | Rosmanira Binti Junoh (1%)Mejar Ismail Bin Ahmad (Rtd) (48%)Mej (B) Hj Zainal Bin Bador (51%) | Rosmanira Binti JunohMejar Ismail Bin Ahmad (Rtd) |
| Dataran Hartajaya Sdn Bhd | Aman Ikhtisas (33.3%)Tadmansori Holdings Sdn Bhd (66.7%) | Mejar Ismail Bin Ahmad (Rtd)Mej (B) Hj Zainal Bin BadorDatuk Dr Tengku Rethwan Bin Tengku Mansor (adik Tengku Adnan)Tengku Daud Shah Bin Tengku Adnan (anak Tengku Adnan) |
| Tadmansori Holdings Sdn Bhd | Tengku Adnan (pemegang saham utama)Tengku Rethwan (memiliki empat saham sahaja) | Datuk Dr Tengku Rethwan Bin Tengku Mansor (adik Tengku Adnan)Tengku Daud Shah Bin Tengku Adnan (anak Tengku Adnan)Tengku Iqbal Munawwir Bin Tengku AdnanAnggraini Binti Sentiyaki |
|
Terutamanya:- | |
|
Tengku Adnan |
|
|
Rosmanira |
|
|
Mejar Ismail
|
|
|
Lim Siew Fai |
|
|
Chua Thian Teck |
|
|
Lim Mei Yoong |
|
|
MPSB, Tegak Dinamik, Regal Marvel, Malton, Aman Ikhtisas dan Dataran Hartajaya seolah-olah berkongsi alamat berdaftar dan alamat perniagaan iaitu, di Pavilion Tower dan/atau Menara Goldstone (sebelum ini dikenali sebagai Menara ING) | |
Hubungan antara Tengku Adnan dan para pengarah syarikat-syarikat di atas menimbulkan pertanyaan tentang konflik berkepentingan yang serius dalam urusan tersebut. Tengku Adnan berkemungkinan telah menyalahgunakan kuasanya untuk membuat keputusan yang telah memberikan manfaat peribadi dan pilih kasih kepada rakan sekutu dan ahli keluarga.
Dalam usaha menegakkan ketelusan dan akauntabiliti, kami menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya mendapatkan penjelasan-penjelasan berikut:
- apakah alasan untuk membenarkan sebahagian taman dipindahkan kepada yayasan? TRK mungkin hanyalah satu taman bagi rakyat Malaysia biasa, tetapi bagi penduduk TTDI dan sekitarnya, ia merupakan kawasan hijau yang terakhir di kawasan itu;
- apakah alasan untuk membenarkan sebuah yayasan yang bertujuaan untuk menolong kumpulan berpendapatan rendah terlibat dalam projek mega usahasama ini;
- adakah sebarang proses tender terbuka bagi usaha sama ini;
- adakah usaha sama ini urusniaga tulus;
- Tengku Adnan telah menjustifikasikan projek mega ini diperlukan untuk menampung perumahan yang mampu dimiliki untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara. Apakah rasionalisasi untuk membenarkan pemaju membina hanya satu blok unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang sementara pemaju, manakala MPSB pula mendapat manfaat membina lapan blok pangsapuri mewah; dan
- adakah terdapat siasatan dalaman yang dijalankan untuk menangani perkara di atas memandangkan perjanjian tanah yang sangat mencurigakan ini berlaku semasa tempoh Tengku Adnan.
C4 juga menggesa SPRM untuk menyiasat YWP dan Tengku Adnan dalam penglibatan mereka dalam transaksi jual beli tanah ini.
Tengku Adnan didakwa dengan dua tuduhan menerima RM3 juta daripada pemaju hartanah. Dalam tuduhan pertama, beliau didakwa sebagai penjawat awam menerima RM1 juta daripada pemaju sebagai dorongan untuk meluluskan projek tersebut.
Dalam pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima RM2 juta dan jumlah itu didakwa telah didepositkan ke akaun Tadmansori Holdings. Tambahan pula terdapat satu lagi kes membabitkan Tengku Adnan dan perintah pembangunan ke atas dua plot hartanah di mana tanah terbabit tidak dimiliki syarikat mahupun DBKL. Ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa pentadbiran terdahulu.
C4 menggesa supaya segala urusan jual beli aset dan harta kerajaan dilakukan dengan lebih terperinci dan teliti bersandarkan hak untuk mengetahui, dan hak untuk mendapatkan maklumat mengenai urusan perolehan kerajaan dan penjualan harta.
Dikeluarkan oleh:
Cynthia Gabriel
Ketua Eksekutif, C4 Center
