Jawatankuasa Pilihan Parlimen Perlu Teliti Semua Setiap Aspek RUU Pindaan Perlembagaan Bagi Pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya

Kenyataan Media Bersama
2 Mac 2026

Kami, kumpulan masyarakat sivil yang bertandatangan di bawah, berterima kasih kepada majoriti Ahli Dewan Rakyat yang menggemakan kebimbangan yang dilontarkan oleh kumpulan masyarakat sivil berkaitan RUU Perlembagaan (Pindaan) (D.R. 5/2026).

Ahli Parlimen daripada Keadilan, Pembangkang dan Ahli-Ahli Parlimen yang lain daripada pelbagai parti politik yang telah kami temui dalam libat urus minggu lepas telah menyatakan kekhuatiran mereka berhubung, antara lain, cadangan proses pelantikan secara budi bicara bagi Pendakwa Raya baharu, ketiadaan tempoh perkhidmatan dan umur persaraan, ketiadaan sekatan atau pengawasan terhadap kuasa pendakwaannya, komposisi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) serta ketiadaan mekanisme pengawasan Parlimen dan kehakiman yang jelas dan kekal terhadap pejabat Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Seandainya RUU ini diluluskan dengan bentuknya yang sedia ada, bukan sahaja kebimbangan terhadap potensi pengaruh tidak wajar dan salah guna kuasa terhadap perkhidmatan pendakwaan akan berterusan, bahkan mungkin wujud kebertanggungjawaban dan ketelusan yang lemah terhadap tindakan pendakwaan serta perlindungan yang lemah terhadap penumpukkan kuasa di pejabat Pendakwa Raya berbanding apa yang kita ada sekarang.

Berdasarkan kebimbangan yang meluas ini, kami bersetuju dengan majoriti Ahli-Ahli Parlimen bahawa Bacaan Kali Kedua RUU ini mesti ditangguhkan supaya sebuah Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat dapat meneliti RUU tersebut dan mengemukakan syor penambahbaikan.

Justeru, kami menggesa Kerajaan untuk merujuk RUU tersebut kepada sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JKP) di bawah Peraturan Mesyuarat 54(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sebelum Bacaan Kali Kedua diselesaikan, supaya JKP tersebut boleh meneliti perincian, merit dan prinsip RUU ini di bawah Peraturan Mesyuarat 55(1).

Kami juga menggesa Kerajaan dan Ahli-Ahli Parlimen untuk memastikan Terma Rujukan JKP tersebut akan membolehkan penelitian RUU ini secara menyeluruh, termasuk perkara-perkara berikut:

  • untuk meneliti cadangan pelantikan, pemecatan, tempoh jawatan, keperluan persaraan wajib, kuasa, tugas dan kewajiban yang berakauntabiliti Pendakwa Raya, dan mekanisme bagi memastikan pengawasan parlimen dan kehakiman;
  • untuk meneliti pelantikan, pemecatan, tempoh jawatan, keperluan persaraan wajib, kuasa, tugas dan kewajiban yang berakauntabiliti Peguam Negara, dan mekanisme bagi memastikan pengawasan parlimen dan kehakiman;
  • untuk meneliti struktur dan cadangan perubahan kepada SPKP, termasuk komposisi dan pelantikan ahli-ahli SPKP, kuasa dan fungsi SPKP, dan keupayaan SPKP untuk beroperasi secara mandiri dan bebas daripada pengaruh Eksekutif;
  • untuk menjemput pandangan dan syor daripada pakar-pakar, pihak-pihak berkepentingan dan orang awam sebelum memberikan cadangan; dan
  • untuk mencadangkan perubahan atau pindaan RUU dan melaporkan pindaan ini kepada Dewan Rakyat bagi pertimbangan dan kelulusan di bawah Peraturan Mesyuarat 58 dan 60.

Sehubungan itu, kami mengalu-alukan kenyataan terkini oleh Pengerusi JKP Dewan Rakyat Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang mencadangkan agar RUU ini dirujuk kepada JKP untuk penambahbaikan lanjut. Walau bagaimanapun, kami terkejut apabila kenyataan tersebut merujuk kepada perbincangan JKP tersebut sebagai satu “semakan menyeluruh” selepas hanya bermesyuarat selama beberapa jam dalam satu hari dan hanya melibatkan beberapa pihak berkepentingan sahaja.

Kami juga terkejut dengan pandangan yang didakwa dinyatakan oleh JKP ini bahawa cadangan proses pelantikan Pendakwa Raya “meletakkan proses pelantikan dalam kerangka perlembagaan yang profesional dan terinstitusi” kerana perkara ini tidak mencerminkan maklum balas yang kami terima daripada Ahli-Ahli Parlimen, termasuk beberapa ahli JKP itu sendiri. Kami berharap Jawatankuasa JKP akan memperjelaskan kenyataan beliau selepas ini.

Dikeluarkan secara bersama oleh:

  1. BERSIH
  2. C4 Center
  3. IDEAS
  4. Projek SAMA
  5. Rasuah Busters
  6. IKRAM Malaysia
  7. ABIM

SHARE THIS:

FACEBOOK
TWITTER

THANK YOU!

All publications by C4 Center are downloadable for free. Much resources and funds have been put into ensuring that we conduct cutting edge research work for these issues to be brought to the attention of the general public, authorities, as well as public policymakers and lawmakers. If you like our work, please do consider supporting us by donating to us. Your financial support will go a long way in ensuring that we can continue fighting for a clean, and better, Malaysia.