Ogos 3, 2022
Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa enakmen anti-lompat yang diluluskan oleh DUN Pulau Pinang pada 2012 menepati perlembagaan.
Panel tujuh hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Perkara 14A perlembagaan negeri juga tidak terbatal kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
“Kami berpandangan, responden (perundangan negeri) berhak membuat undang-undang itu untuk menentukan kelayakan keahlian,” katanya.
Isu ini timbul pada 2020 selepas empat ADUN Pulau Pinang memfailkan tindakan mencabar usul dikemukakan speaker DUN supaya mereka mengosongkan kerusi dan agar pilihan raya kecil diadakan, selepas mereka berpaling tadah daripada Pakatan Harapan (PH).
ADUN terbabit ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Telok Bahang).
Pada 12 April, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan speakernya untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada undang-undang anti-lompat negeri itu melanggar hak perlembagaan bagi kebebasan berpersatuan.
Dalam penghakiman lisan, Tengku Maimun berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menjamin hak asasi ADUN dipilih untuk bertukar keahlian parti politik.
“Hak untuk menjadi anggota atau kekal sebagai anggota tidak dijamin mengikut Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. Keahlian ditentukan Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri,” katanya
Beliau berkata, keupayaan wakil rakyat menukar keahlian parti politik merupakan sebahagian daripada demokrasi Berparlimen.
Katanya, menukar keahlian juga tidak boleh meminggirkan watak rakyat biasa berhubung hak mereka untuk bebas berpersatuan.
“Justeru, ia boleh dihadkan secara sah dan diluluskan oleh perundangan,” tambahnya.
Bagi perkara berkenaan, Tengku Maimun berkata, penghakiman Mahkamah Persekutuan 1992 antara Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan lawan Nordin Salleh, boleh diketepikan bagi perkara tertentu.
Nordin (Sungai Pinang) dan Wan Mohamed Najib Wan Mohamad (Limbongan) memenangi kerusi mereka di bawah tiket Semangat 46, pada Pilihan Raya Umum 1990.
Bagaimanapun, kedua-duanya berpaling tadah dengan menyertai Umno, pada 1991. Susulan itu, DUN Kelantan meminda undang-undang tubuh negeri dan meluluskan undang-undang anti-lompat yang berkuat kuasa secara retrospektif, bermula 19 Nov 1990.
Speaker DUN ketika itu mengisytiharkan kedua-dia kerusi kosong dan kedua-duanya bertanding semula dalam pilihan raya kecil, namun tewas.
Kedua-duanya kemudian mendapatkan remedi dengan Mahkamah Persekutuan pada 1992 memutuskan pindaan terhadap undang-undang tubuh negeri itu dibentuk bagi menguatkuasakan disiplin parti, bukan mengenakan sekatan terhadap ADUN.
Mahkamah berkata, pindaan itu bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak kebebasan berpersatuan.
Nordin dan Wan Mohamed kemudian kembali semula menjadi ADUN.
Dalam penghakiman, hari ini, Tengku Maimun berkata, sifat wakil rakyat, apabila berada di dewan perundangan, mempunyai watak berbeza, iaitu hak peribadi mereka untuk berpersatuan mesti berdasarkan mandat diberikan pengundi.
Hakim bersidang kemudian memerintahkan hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang meneruskan perbicaraan sejajar dengan penghakiman hari ini atau sebaliknya mengikut undang-undang.
Hakim lain bersidang adalah Nallini Pathmanathan, Vernon Ong, Mary Lim, Harmindar Singh Dhaliwal, Rhodzariah Bujang dan Zabidin Mohd Diah.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar dan A Surendra Ananth, mewakili speaker dan DUN.
Peguam DP Naban, Rosli Dahlan, Chetan Jethwani dan Siva Kumar Kanagasabai, mewakili empat ADUN berkenaan.
Sumber berita:
Undang-undang anti-lompat P Pinang tepati perlembagaan, putus Mahkamah Persekutuan