MyGovt Reform Tracker

RUU Lompat Parti: Kerajaan, Pembangkang Capai Kata Sepakat

April 7, 2022

Bagaimanapun pembentangan RUU ditangguhkan buat kali kedua, dalam usaha mendapatkan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen termasuk pembangkang.

Ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang Malaysia pada Khamis mencapai kata sepakat untuk menyokong satu pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, bagi memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal rang undang-undang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Pada awal bulan ini, Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata seramai 39 orang Ahli Parlimen telah bertukar kecenderungan politik mereka sejak Pilihan Raya Umum 2018, dan perkara tersebut telah menyebabkan ketidakstabilan politik di dalam negara dan kesukaran dalam pengurusan ekonomi.

“Kedua-dua belah pihak pada hari ini telah mencapai kata sepakat mengenai beberapa tindakan susulan berkaitan undang-undang yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti bagi maksud pembentangan dalam sidang khas Parlimen pada 11hb April 2022.

“Antara perkara-perkara yang telah dipersetujui kedua-dua pihak adalah untuk memberi sokongan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) di bawah Perkara 10 bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” kata satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Wan Junaidi sebagai wakil kerajaan dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik, Saifuddin Nasution, wakil pembangkang

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan hak setiap rakyat Malaysia terhadap kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan untuk berpersatuan.

Kedua belah pihak juga mempersetujui supaya Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 April ini digunakan untuk membentang pindaan perlembagaan tersebut, yang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, dan menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan mereka.

Menurut Wan Junaidi, sidang pada 11 April pada asalnya dijadualkan untuk membentangkan kedua-dua perkara — iaitu mengenai pindaan perlembagaan dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti — secara bersekali, namun kabinet telah memutuskan untuk hanya pindaan perlembagaan dibentangkan pada tarikh tersebut.

“Kabinet memutuskan supaya dibuat satu pindaan terhadap perlembagaan, tetapi bagi undang-undang anti-lompat parti, ia akan dibuat sebagai Akta Parlimen dan secara berasingan,” kata beliau ketika ditemui wartawan selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik.

Teliti definisi lompat parti

Selain isu pindaan Perlembagaan, kerajaan juga sedang meneliti semula beberapa perkara di dalam rang undang-undang anti-lompat parti yang ingin dibentangkan di Parlimen.

Kata Wan Junaidi, terdapat perbezaan pendapat di kalangan Ahli Parlimen kerajaan mengenai beberapa perkara di dalam rang undang-undang tersebut dan mereka ingin ia diperincikan semula.

“Terdapat perbezaan pendapat daripada sebahagian orang di dalam kerajaan,” kata menteri itu ketika ditanya mengenai ura-ura terdapat penolakan dari dalam kerajaan terhadap penggubalan akta berkenaan.

Beliau turut menafikan bahawa perkara tersebut adalah sabotaj politik, sebaliknya hanya perbezaan mengenai definisi lompat parti di dalam undang-undang tersebut.

“Bukan mereka tidak setuju dengan undang-undang ini, tetapi hanya tidak bersetuju dengan beberapa ciri di dalamnya. (Mereka mahu) beberapa perkara diubah.

“Ia berkaitan definisi, seperti yang telah disebut ramai,” tambah Wan Junaidi.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa terdapat perbezaan pendapat di antara wakil parti-parti politik berkenaan definisi lompat parti. Perkara sama pernah turut disuarakan oleh Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dari parti Bersatu yang mahukan supaya terma itu diteliti supaya definisi tepat dapat diberikan.

Ditanya samada mesyuarat pada Khamis telah memutuskan sebarang tarikh baru bagi pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, Wan Junaidi menyatakan bahawa keputusan mengenai hal tersebut akan dibuat oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ia adalah kerana kuasa menentukan tarikh pembentangan sesuatu usul di Parlimen terletak di bawah tanggungjawab Perdana Menteri.

Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik adalah satu badan yang melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang bagi menggerakkan semua inisiatif di bawah satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua belah pihak pada September tahun lepas.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri telah menandatangani MoU tersebut dengan Pakatan Harapan, yang merupakan blok terbesar pembangkang di Parlimen, sebagai satu usaha mewujudkan kestabilan politik.

Ia menyaksikan beberapa persetujuan dicapai antara kedua belah pihak, termasuk jaminan daripada blok pembangkang tersebut bahawa ia akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 dan rang undang-undang berkaitan di Parlimen, yang dilihat sebagai undi percaya terhadap pemimpin negara itu.

Sebagai balasan, kerajaan juga bersetuju terhadap beberapa perkara, termasuk melakukan transformasi pentadbiran dengan membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti dan undang-undang berkaitan, mempercepat pelaksanaan pendaftaran pengundi 18 tahun serta mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Daya maju MoU

Sementara itu, Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata percanggahan pandangan dalam kabinet mengenai definisi lompat parti adalah sesuatu yang tidak mengejutkan.

“Ini adalah kerana sebilangan daripada anggota Kabinet itu sendiri pernah bertukar parti,” kata beliau kepada BenarNews.

Penganalisis itu berkata bahawa penundaan pembentangan rang undang-undang tersebut juga menimbulkan persoalan mengenai daya maju MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan.

“Sekali lagi Ismail Sabri menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai kuasa sebenar sebagai seorang perdana menteri.

“Sekarang ini kerajaan perlu memberikan jaminan bahawa ia akan membentangkan undang-undang anti-lompat parti seperti yang dipersetujui dalam MoU, dan kegagalan berbuat demikian bermakna kerajaan gagal memenuhi tanggungjawab mereka dalam persefahaman dan menjadikan MoU tidak relevan,” tambah Tunku Mohar.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata bahawa penggubalan akta untuk menghalang Ahli Dewan Rakyat daripada bertukar parti menghadapi kesukaran disebabkan Malaysia tidak mempunyai undang-undang dahuluan dalam perkara tersebut.

“Negara lain telah ada undang-undang serupa, tetapi bagi Malaysia, undang-undang ini amat unik kerana ia adalah satu perkara yang jarang atau tidak pernah berlaku di negara lain yang mengamalkan demokrasi.

“Saya rasa ini adalah sebab mengapa mereka menghadapi kesukaran untuk memperhalusi beberapa perkara asas seperti apa yang dimaksudkan dengan lompat parti, dan bagaimana ia tidak akan menjadi bertentangan dengan hak rakyat Malaysia kepada kebebasan untuk menyertai parti politik. Saya rasa ini yang menyebabkan ia menjadi lambat,” kata Azmi kepada BenarNews.

Felo kanan Akademi Nusantara Untuk Kajian Strategik itu percaya bahawa pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan Isnin depan akan mendapat sokongan, terutama sekali dari UMNO yang dianggotai Perdana Menteri Ismail Sabri kerana ia sebelum ini telah banyak terkesan dengan perbuatan Ahli Parlimennya yang melompat keluar.

“Saya pasti Isnin ini, usul untuk meminda perlembagaan berkaitan dengan rang undang-undang anti-lompat parti ini akan dapat diluluskan.

“Saya positif bahawa Rang Undang-Undang ini akan diluluskan bila semua perkara telah diperhalusi kerana mana-mana individu yang menentangnya akan mendapat imej buruk pada pandangan para pengundi. Jadi saya rasa tidak ada Ahli Parlimen atau parti yang waras fikirannya akan menentangnya,” kata beliau.

Related news:

RUU Lompat Parti: Kerajaan, Pembangkang Capai Kata Sepakat

SHARE THIS:

FACEBOOK
TWITTER
Whatsapp

THANK YOU!

All publications by C4 Center are downloadable for free. Much resources and funds have been put into ensuring that we conduct cutting edge research work for these issues to be brought to the attention of the general public, authorities, as well as public policymakers and lawmakers.

If you like our work, please do consider supporting us by donating to us. Your financial support will go a long way in ensuring that we can continue fighting for a clean, and better, Malaysia.