Jun 8, 2022
Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti akan dibentang dan dibahaskan dalam Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama Julai ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti bersetuju dan memuktamadkan draf RUU Anti Lompat Parti untuk dibentang dan dibahaskan.
Katanya, lima persoalan dasar dibangkitkan oleh Jemaah Menteri semasa mesyuarat pada 1 Jun lalu dan dijawab oleh Jawatankuasa Pilihan Khas dalam mesyuarat semalam.
“Mesyuarat terakhir akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengesahkan penyata Jawatankuasa Pilihan Khas.
“Jawatankuasa Pilihan Khas ini juga secara sebulat suara bersetuju meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk diadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama Julai 2022,” katanya dalam kenyataan.
Mesyuarat Kabinet sebelum ini membangkitkan dua perkara untuk diperinci dan diteliti semula dalam draf RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Selain isu berkenaan, Wan Junaidi berkata, Jemaah Menteri dalam mesyuarat sama turut tidak membantah draf dicadang Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menimbang RUU berkenaan.
Sumber:
RUU Anti-Lompat Parti dibentang bulan depan