Disember 7, 2021
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dihadkan tidak melebihi 10 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kajian mengenai isu itu dibuat bagi mendapatkan pandangan orang awam, agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Satu soal selidik telah dimuat naik di portal BHEUU dan pandangan itu (kajian) boleh dijawab mulai 23 Nov 2021 sehingga esok (8 Dis).
“Satu jawatankuasa teknikal juga ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pemandu CSA (Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan) untuk mengkaji cadangan kerajaan berdasarkan sesi libat urus yang holistik untuk membuat penetapan dasar,” katanya dalam program Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari menerusi Buletin Bernama.
Beliau berkata, pindaan berkaitan perkara itu akan dilaksanakan pada Julai 2022, selepas kajian terperinci selesai dilaksanakan.
Katanya, cadangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri akan dilaksanakan supaya tidak lagi berlaku situasi sekiranya Perdana Menteri menang dalam pilihan raya, beliau akan terus memegang jawatan tersebut.
“Oleh itu, kita putuskan melalui jawatankuasa yang dipanggil CSA untuk menyatakan tempoh masa perkhidmatan Perdana Menteri selama 10 tahun sahaja.”
Sementara itu, Wan Junaidi berkata, Parlimen bersama Jabatan Peguam Negara sedang meneliti penggubalan atau pindaan berkaitan Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen 2022 dan Akta Majlis (Kuasa dan Keistimewaan) 2022 yang dijangka dibentangkan semasa mesyuarat pertama penggal kelima pada Mac 2022.
“Dengan reformasi ini, penggubalan atau pindaan akta-akta tersebut, kebebasan Parlimen terjamin dan perjalanan mesyuarat di dewan akan lebih teratur.”
Sementara itu, katanya, Jemaah Menteri pada 17 Sept lalu memutuskan kerajaan menggerakkan penggubalan undang-undang lompat parti dan satu soal selidik dibangunkan untuk dijawab Ahli Parlimen serta orang awam mulai 23 Nov lalu hingga 7 Dis 2022.
“Sehingga kini, seramai 7,000 orang awam telah menjawab soal selidik ini. Perkara ini antara usaha kerajaan untuk mendapatkan pandangan semua pihak dalam penetapan dasar.”
Related news:
Jabatan Peguam Negara, BHEUU kaji had jawatan PM tak lebih 10 tahun