Semasa mesyuarat Dewan Rakyat pada 6 Jun 2023, blok pembangkang yang terdiri daripada ahli-ahli politik gabungan Perikatan Nasional (PN) telah sebulat suara membantah dengan lantang perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 (Laporan KAN) dalam Parlimen. Meskipun Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul masih meneruskan usul itu untuk membenarkan laporan tersebut dibahaskan, tiada ahli-ahli politik pembangkang yang hadir dalam Dewan Rakyat untuk perbahasan tersebut, ini menunjukkan kurangnya sikap tanggungjawab mereka yang amat mengecewakan. Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) mengecam perbuatan ahli-ahli politik yang cuba menyekat perbincangan suatu laporan mustahak yang menunjukkan pembaziran dan ketirisan yang berkemungkinan berlaku dalam perbelanjaan kerajaan, dan juga menegaskan semula pendirian bahawa Laporan-laporan Ketua Audit Negara mesti tertakluk kepada penelitian dan perbahasan Parlimen.
Tindakan ahli-ahli politik PN yang membantah sekerasnya perbahasan Laporan KAN membangkitkan kesangsian – laporan tersebut merangkumi perbelanjaan yang dibuat semasa tempoh pemerintahan PN, dan akan mendedahkan sebarang penyelewengan kewangan atau pembaziran yang berlaku semasa pentadbiran mereka. Syak wasangka tentang penyelewengan kewangan oleh PN telah bertambah sejak kerajaan perpaduan di bawah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara pada bulan November 2022 – dakwaan dan penyiasatan mengenai penyelewengan berjuta-juta ringgit yang diperuntukkan untuk bantuan kewangan COVID-19 oleh Bersatu serta pendanaan politik PAS yang menggunakan hasil perjudian telahpun berbangkit. Hal-hal tersebut sedang disiasat secara aktif oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan beberapa tangkapan telah dibuat atas dakwaan ini, yang menunjukkan bahawa dakwaan tersebut bukannya khabar angin sahaja. Oleh itu, siasatan harus dilanjutkan.
Reaksi yang terlampau oleh ahli-ahli politik PN ini menunjukkan bahawa tempoh pentadbiran mereka mungkin tercemar dengan rasuah dan kepentingan sendiri, yang bertambah teruk semasa pandemik COVID-19 yang telah membuka peluang bagi ahli-ahli politik untuk menggunakan dana kerajaan kononnya demi “perolehan darurat”. Oleh itu, perbuatan ahli-ahli politik PN ini yang amat mengecewakan dan mencurigakan sama sekali kerana enggan bertanggungjawab terhadap Parlimen dan rakyat Malaysia yang mengundi mereka sebagai ahli parlimen.
Rasional disebalik penjelasan Yang di-Pertua Johari dalam membenarkan perbahasan tersebut diteruskan adalah kerana Mas Ermieyati, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC), hadir bersama ahli-ahli PAC yang lain. Meskipun sebagai ahli-ahli PAC, bantahan mereka untuk meneruskan perbahasan tersebut jelas menunjukkan mereka telah mengabaikan tugas dan amanah dengan mengutamakan parti politik melebihi hal-hal kepentingan awam.
Mengenai persoalan PAC, Takiyuddin Hassan berpendapat bahawa laporan tersebut telah pun diteliti sepenuhnya oleh PAC dan perbahasan selanjutnya akan membazirkan masa Dewan Rakyat. Ini adalah suatu isu yang mudah ditangani sekiranya contoh-contoh penyelewengan kewangan yang amat buruk dibahaskan dalam Dewan Rakyat berdasarkan tahap keseriusannya. Walau bagaimanapun, Mas Ermieyati menyatakan bahawa laporan tersebut tertakluk di bawah bidang kuasa PAC dan bukannya Parlimen. Beliau juga telah menyatakan bahawa Dewan Rakyat patut membahaskan laporan-laporan yang dikemukakan oleh PAC, dan bukannya laporan terus daripada pejabat Ketua Audit Negara. Walaupun begitu, ini menimbulkan persoalan penting: mengapakah blok PN menentang perbahasan Laporan Ketua Audit Negara dengan sekeras – kerasnya sekiranya PAC sendiri telah meneliti laporan tersebut di bawah pimpinan Pengerusi PAC Mas Ermieyati?
Tambahan pula, Mas Ermieyati juga menyarankan kerajaan bahawa adalah lebih baik sekiranya sesi PAC dibuka kepada orang awam. Sebagai respons kepada pernyataan ini, Pusat C4 ingin mengingatkan pihak pembangkang bahawa ketelusan dalam mekanisme institusi adalah mustahak untuk kepentingan awam dalam memperjuangkan tadbir urus baik. Meskipun PAC mempunyai kebebasan di bawah tadbir urus oleh Parlimen, PAC masih menyediakan laporan-laporan yang secara amnya tidak terbuka kepada orang ramai.
Sebagai blok pembangkang, PN sepatutnya bertanggungjawab bagi memastikan agar tadbir urus, khasnya dalam pengurusan dan penyimpanan rekod kewangan oleh kerajaan, menepati standard. Ini amat membimbangkan bahawa kepentingan PN tertumpu kepada pengabaian mekanisme semak dan imbang, dan percubaan dalam mengurangkan penglibatan Parlimen dan ahli-ahli yang dipilih secara demokratik dalam penelitian perbelanjaan kerajaan. Sejak pertengkaran dalam Dewan Rakyat semalam, wakil-wakil daripada PN telah memberikan pelbagai alasan mengapa mereka enggan melibatkan diri dalam perbahasan tersebut – Kemungkinan untuk menyembunyikan hakikat bahawa mereka cuma mengelak daripada menghadapi dapatan yang terkandung dalam Laporan KAN di suatu forum awam.
Dengan itu, Pusat C4 mengesyorkan perkara- perkara berikut:
- Kerajaan mesti meminda peraturan-peraturan “standing order” untuk menetapkan perbahasan Laporan-laporan KAN sebagai sebahagian daripada mesyuarat-mesyuarat Dewan Rakyat;
- Kerajaan juga harus menjadikan semua sesi PAC terbuka dan mudah diakses untuk tontonan rakyat;
- Parlimen mesti membentangkan usul perbahasan Laporan KAN semula, dan ahli-ahli politik Perikatan Nasional termasuk mantan menteri yang harus hadir untuk memberikan penjelasan atas dapatan-dapatan penting dalam laporan tersebut berkaitan dengan kementerian mereka.
AKHIR KENYATAAN
Dikemukakan oleh:
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4)
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi:
c4center@gmail.com
019-216 6218 / 016-4455678/ 03-7660 5140
Laman web: https://c4center.org/